ALOR SETAR – Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) menyambut baik langkah kerajaan mahu menurunkan harga siling kit ujian kendiri Covid-19 dalam pasaran yang dijangka bermula November ini.
Setiausahanya, Mohd Yusrizal Yusoff berkata, harga runcit maksimum bagi kit ujian kendiri ketika ini iaitu RM19.90 satu set dan RM16 untuk harga borong berkuat kuasa 5 September lalu masih dianggap mahal.
Beliau berkata, penetapan harga siling lebih rendah akan menggalakkan orang ramai menggunakan kemudahan itu di kediaman masing-masing.
“Bagi saya harga RM19.90 masih mahal terutamanya untuk golongan berpendapatan rendah. Jadi kalau harga siling diturunkan memang kita mengalu-alukan bagi memudahkan ujian kendiri dibuat.
“Sekarang telah dibenarkan rentas negeri dan untuk memudahkan pengguna diharapkan harga kit berkenaan diturunkan sekurang-kurangnya sehingga RM10 bagi satu set,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, orang ramai juga dapat membeli kit mengikut keperluan dan menjalani ujian kendiri Covid-19 sebelum pulang ke kampung halaman masing-masing.
“Dengan itu orang ramai dapat melakukan ujian kendiri Covid-19 terlebih dahulu yang mudah dan cepat, sekali gus memastikan keselamatan keluarga bagi mengelak risiko penyebaran virus,” katanya.
Mohd Yusrizal berkata, beliau sendiri menjalani ujian RTK-Antigen di klinik swasta pada harga kira-kira RM70 setiap kali balik dari urusan kerja di Kuala Lumpur untuk memastikan ahli keluarganya selamat.
“Saya sendiri telah banyak berhabisan. Sekiranya paras harga siling kit ujian kendiri Covid-19 diturunkan, ia banyak membantu orang ramai,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohd Yusrizal berkata, setakat ini Cake tidak menerima aduan daripada orang ramai berhubung keberkesanan kit ujian kendiri tersebut.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan pengguna membeli kit ujian kendiri Covid-19 melalui farmasi berbanding platform atas talian untuk mengelakkan membeli produk tiruan.
Pada Jumaat, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengeluarkan satu paras harga baharu kit ujian kendiri Covid-19.
Beliau memaklumkan, perkara itu akan dilaksanakan selepas beberapa faktor diperhalusi dan dimuktamadkan pada November.