KOTA KINABALU – Trend jumlah kes harian baharu Covid-19 yang turun naik di Sabah ketika ini dipengaruhi jangkitan sporadik dan dijangka berterusan dalam masa terdekat, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.
Jurucakap Covid-19 Sabah itu berkata, trend turun naik kes di negeri itu dapat dilihat apabila 820 kes baharu dicatatkan pada Khamis meningkat berbanding 790 kes pada Rabu manakala pada 5 Oktober sebanyak 805 kes, 4 Oktober (677) dan 3 Oktober (767).
Katanya, virus Covid-19 yang sudah berada dalam komuniti kini mengakibatkan jangkitan sporadik, justeru turun naik jumlah kes harian banyak dipengaruhi sikap dan tahap pematuhan masyarakat kepada prosedur operasi standard (SOP).
“Jumlah kes melalui saringan bergejala adalah tinggi, sebanyak 38.66 peratus daripada jumlah kumulatif kes pada hari ini berpunca daripada saringan bergejala yang sinonim dengan kes-kes jangkitan sporadik.
“Ini satu petanda bahawa virus ini sudah berada dalam komuniti secara meluas dan amatlah penting agar semua penduduk sentiasa mematuhi SOP,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis malam.
Sementara itu, Masidi berkata, 948 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 189,242 orang manakala 2,577 pesakit Covid-19 masih dirawat. – Bernama