Home Koronavirus Tiga gelombang jangkitan Covid-19 'serang' China

Tiga gelombang jangkitan Covid-19 'serang' China

0
Tiga gelombang jangkitan Covid-19 'serang' China

Penduduk menunggu giliran untuk bertemu doktor di klinik sementara yang dibuka di sebuah stadium tertutup di Beijing. -Foto AFP

BEIJING – Pihak berkuasa kesihatan China percaya negara itu kini berdepan gelombang pertama jangkitan Covid-19 pada musim sejuk ini.

Beijing dikatakan sedang menyaksikan lonjakan kes sejak ia menarik semula sebahagian besar sekatan ketat pada awal bulan lalu setelah ia berdepan siri protes luar biasa anti-lockdown.

Gelombang pertama yang sedang dihadapi China dikatakan lebih tinggi berbanding kemuncak wabak itu pada April lalu.

Pakar epidemiologi, Dr Wu Zunyou berkata, peningkatan kes jangkitan dijangka berterusan sehingga pertengahan Januari manakala gelombang kedua diramalkan berlaku ketika cuti perayaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bermula pada 21 Januari depan.

“Gelombang ketiga pula dijangka bermula pada akhir Februari hingga pertengahan Mac 2023,” ujarnya.

Beliau mengeluarkan kenyataan itu selepas institut penyelidikan berpusat di Amerika Syarikat (AS) mendakwa China bakal menyaksikan lebih sejuta kematian akibat Covid-19 pada tahun depan.

Pada Isnin, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan (NHC) melaporkan dua kematian pertama sejak 3 Disember lalu, beberapa hari sebelum Beijing melonggarkan sekatan ketat yang dilaksanakan di bawah dasar kontroversi, ‘sifar Covid-19’ yang mengundang kecaman penduduk.

NHC turut merekodkan 1,995 kes simptomatik selepas ia tidak lagi melaporkan kes asimptomatik bermula minggu lalu setelah ujian saringan harian ditamatkan di bawah fasa peralihan untuk belajar hidup dengan Covid-19.

Di bawah langkah perubahan dramatik terbaharu, pihak berkuasa di Chongqing yang berpopulasi kira-kira 32 juta orang menjadi bandar pertama di negara itu yang membenarkan individu bekerja seperti biasa walaupun mengalami gejala Covid-19.

Pada Ahad, wilayah Zhejiang yang merupakan hab ekonomi utama dan berpopulasi 60 juta orang juga membenarkan individu yang bergejala ringan untuk bekerja seperti biasa.

Susulan kes yang semakin meningkat, bandar Shanghai telah mengarahkan sesi pembelajaran secara dalam talian selain penutupan operasi pusat jagaan kanak-kanak bermula Isnin. – Agensi

INFO

>Data rasmi menunjukkan lebih 90 peratus penduduk di Beijing sudah divaksin. Kurang separuh daripada individu berusia 80 tahun ke atas menerima tiga dos vaksin. Warga emas lebih berisiko menghidap gejala Covid-19 lebih teruk.

>Hospital dan pusat perubatan sedang berada di bawah tekanan. Pusat kesihatan sementara dan kemudahan jagaan intensif telah dibuka di seluruh negara untuk menampung jumlah pesakit.

>Beijing sedang berdepan kekurangan bekalan ubat-ubatan termasuk aspirin, ibuprofen dan vitamin C yang kritikal.

>China yang mempunyai 1.4 bilion populasi hanya merekodkan 5,237 kematian berkaitan Covid-19 ketika pandemik yang dianggap sebagai angka yang sangat rendah mengikut piawaian global.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here