Home Koronavirus Terpengaruh berita tidak benar antara punca tidak hadir janji temu

Terpengaruh berita tidak benar antara punca tidak hadir janji temu

0
Terpengaruh berita tidak benar antara punca tidak hadir janji temu

KUANTAN – Tidak menyemak aplikasi MySejahtera dan terpengaruh dengan berita tidak benar berkaitan vaksin dikenal pasti sebagai antara punca 10,000 penduduk Pahang tidak menghadiri janji temu suntikan vaksin Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, alasan itu diterimanya selepas beliau mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan berhubung isu ketidakhadiran di pusat pemberian vaksin (PPV) di Pahang.

Menurut beliau, Raub merupakan daerah paling tinggi mencatatkan jumlah ketidakhadiran iaitu 45 peratus diikuti Pekan (43 peratus), Maran (40), Bera (28) manakala Bentong dan Jerantut masing-masing mencatatkan 22 peratus.

“Selain tidak sedar tentang lokasi, masa dan tarikh janji temu vaksin yang diberikan oleh aplikasi MySejahtera, ada juga yang memberikan alasan terlupa.

“Ada juga kalangan warga emas yang berubah fikiran selepas terpengaruh dengan berita tidak benar tentang vaksin yang disebarkan ahli keluarga, sahabat atau yang tular di media sosial,” menurutnya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman media sosial rasmi beliau hari ini.

Sehubungan itu, Wan Rosdy berharap golongan muda dapat membantu menyemak dan mengingatkan ibu bapa mereka khususnya yang telah berusia supaya mereka tidak terlepas untuk proses vaksinasi.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri akan terus mendapatkan maklum balas daripada rakyat Pahang berhubung isu ketidakhadiran janji temu suntikan vaksin walaupun telah mendaftar untuk menerima suntikan tersebut.

“Kita mesti berusaha sebaik mungkin untuk mencapai tahap imuniti kelompok pada kadar segera dan ini hanya boleh dicapai jika sebahagian besar kita telah menerima vaksin supaya dapat memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19,” katanya.-Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here