GEORGETOWN – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan bermula pada Isnin ini seperti dijadualkan.
Yang di-Pertua DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco kerajaan negeri yang sudah menjalani saringan Covid-19 disahkan negatif.
Menurutnya, keputusan berdasarkan saringan Covid-19 menggunakan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) itu diterima daripada hospital yang bertanggungjawab menjalankan ujian ke atas semua wakil rakyat berkenaan.
“Setakat ini, keputusan ujian RT-PCR yang diterima secara sah daripada pihak hospital menunjukkan semua ahli Exco dan ADUN yang disenaraikan adalah negatif.
“Selain ADUN dan Exco, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak juga disaring dan keputusannya negatif,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, ujian RT-PCR itu dijalankan melalui hospital dan makmal yang memerlukan tempoh sekurang-kurang sehari untuk memperoleh keputusan.
Dalam pada itu, Choo Kiang menegaskan bahawa setiap individu termasuk ADUN dan Exco yang ingin menghadiri persidangan perlu menjalani ujian RT-PCR.
“Ini merupakan syarat wajib untuk mereka yang ingin menyertai Sidang DUN. Mereka yang gagal termasuk ADUN atau Exco menunjukkan keputusan ujian (negatif) tidak akan dibenarkan masuk ke kawasan persidangan.
“Ujian RT-PCR yang dijalankan di luar Pulau Pinang juga diterima asalkan keputusan yang diperoleh adalah negatif,” katanya.
Choo Kiang berkata, terdapat beberapa ADUN masih belum menjalani ujian RT-PCR.
“Sehingga kini, belum ada ADUN yang memohon untuk tidak menghadiri persidangan DUN pada minggu hadapan.
“Selain itu, difahamkan semua ADUN telah melengkapkan suntikan dua dos vaksin mereka,” katanya.