Home Koronavirus Pulau Pinang jangka penduduk dewasa dapat dos penggalak akhir Februari

Pulau Pinang jangka penduduk dewasa dapat dos penggalak akhir Februari

0
Pulau Pinang jangka penduduk dewasa dapat dos penggalak akhir Februari

GEORGETOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang menjangkakan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 di negeri itu berupaya mencapai sasaran 100 peratus dalam kalangan penduduk dewasa menjelang akhir Februari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kapasiti pemberian vaksin dos penggalak di Pulau Pinang ialah kira-kira 18,000 dos sehari melalui 100 klinik swasta, 10 pusat pemberian vaksin (PPV) di luar tapak dan tujuh hospital swasta.

“Setakat ini, Pulau Pinang tidak mempunyai PPV mega untuk pemberian vaksin penggalak namun dengan kadar kapasiti pemberian 18,000 dos sehari, saya menjangkakan sasaran yang ditetapkan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) untuk semua populasi dewasa negeri ini mendapat dos penggalak akan dicapai menjelang hujung Februari ini,” katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.

Beliau turut menasihati penduduk dewasa Pulau Pinang agar bersedia menerima dos penggalak apabila mendapat janji temu melalui aplikasi MySejahtera.

Katanya, walaupun jumlah kes positif Covid-19 di Pulau Pinang kini berkurangan kepada purata 160 hingga 200 kes sehari, usaha memantau kadar kebolehjangkitan atau R-Naught dan varian baharu masih diteruskan.

Kon Yeow berkata, operasi kemudahan berkaitan Covid-19 yang dihentikan sebelum ini turut diminta sentiasa berada dalam mod bersiap sedia sekiranya jumlah kes meningkat akibat kadar jangkitan varian baharu.

“Setakat ini, purata jumlah pesakit yang dimasukkan ke PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19) ialah 70 hingga 80 orang dan penggunaan katil hospital turut mencatatkan penurunan namun kerajaan negeri tetap dalam keadaan siap siaga sekiranya berlaku peningkatan kes,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang turut diminta mempercepat kadar suntikan dos penggalak dalam usaha menyekat penularan pandemik itu.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang-Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Isnin memutuskan Kompleks Masyarakat Penyayang akan terus diletak dalam keadaan siap siaga sebagai PKRC dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) secara pandu lalu bagi Daerah Timur Laut.

Kon Yeow berkata, turut diputuskan ialah Pusat Kecemerlangan Mara (MEC) di Jawi akan terus berperanan sebagai PKRC di Pulau Pinang manakala Hotel Bahang Bay dan Hotel Vouk Suites berfungsi sebagai Stesen Kuarantin Swasta untuk pengembara yang kembali dari luar negara. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here