GEORGETOWN – Pulau Pinang merekodkan 10 kes Covid-19 membabitkan varian Omicron sehingga 10 Januari lalu.
Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, 10 kes tersebut terdiri daripada lima daripada jemaah umrah (Arab Saudi), Dubai (tiga) dan Kazakhstan (dua).
“Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) kini sedang memerhati situasi semasa berhubung varian itu dan sentiasa bersiap siaga pada setiap masa.
“Sehingga 6 Januari, kes melibatkan varian Delta adalah 285, Omicron (10) dan varian Beta (10),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun katanya, tiada kluster baharu direkodkan di Pulau Pinang.
“Terdapat tujuh kluster aktif sehingga hari ini (Khamis) iaitu dari sektor perkilangan (lima), keagamaan (satu) dan kumpulan berisiko tinggi (satu).
“Sementara itu, tempat kerja, institusi pendidikan, tapak bina, komuniti dan pusat tahanan tidak mencatatkan kluster aktif baharu,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, semua kes varian Omicron yang direkodkan adalah dari kategori satu dan dua yang sebahagiannya sudah discaj dari wad.
Katanya, semua kes itu tidak membabitkan komuniti yang mana ia adalah kes import melibatkan individu baharu pulang dari umrah dan juga ada dari Dubai.
Tambah Kon Yeow, tiada kes kontak rapat membabitkan varian ini dilaporkan.