Home Koronavirus ProtectHealth umum kumpulan layak daftar ‘walk in’ dos penggalak

ProtectHealth umum kumpulan layak daftar ‘walk in’ dos penggalak

0
ProtectHealth umum kumpulan layak daftar ‘walk in’ dos penggalak

SHAH ALAM – ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) mengumumkan kumpulan individu yang boleh melakukan pendaftaran secara ‘walk in’ atau datang terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasiliti kesihatan swasta bermula 22 November ini.

Dalam satu kenyataannya, ProtectHealth memaklumkan, pendaftaran dilakukan untuk individu belum menerima janji temu pemberian dos penggalak melibatkan petugas barisan hadapan kesihatan, keselamatan dan pertahanan serta individu berusia 40 tahun dan ke atas.

Menurutnya, ia turut meliputi individu berusia 18 tahun dan ke atas dengan komorbiditi, penghuni termasuk petugas di pusat jagaan kesihatan jangka panjang, ibu yang mengandung dan keperluan ke luar negara.

“Pendaftaran yang boleh dilakukan melalui e-mel atau telefon itu akan turut dilaksanakan kepada individu termasuk remaja berusia 12 hingga 17 tahun yang masih belum menerima suntikan dos pertama atau kedua vaksin Covid-19. Juga individu yang terlepas janji temu vaksin,” menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Penggalak (CITF-B) pada 16 November lalu mengumumkan bahawa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersetuju untuk melaksanakan dasar pendaftaran datang terus bagi pemberian dos penggalak.

Sementara itu, ProtectHealth memaklumkan bahawa pendaftaran untuk senarai menunggu di PPV fasiliti kesihatan swasta di bawahnya adalah percuma dan ia hanya melibatkan vaksin Corminaty (Pfizer) bagi PPV yang disenaraikan.

Mengenai langkah perlu diambil untuk pendaftaran tersebut, ProtectHealth berkata, individu yang layak disarankan untuk mendaftar nama sebagai senarai menunggu hanya di satu PPV fasiliti kesihatan swasta bagi mengelakkan kekeliruan.

Katanya, individu yang telah mendaftar akan dimasukkan ke dalam senarai menunggu terlebih dahulu dan akan dihubungi pengamal perubatan swasta terbabit sekiranya ada pembatalan janji temu atau ‘no show’ oleh mereka yang telah menerima janji temu vaksin menerusi MySejahtera.

“Mereka yang telah menerima janji temu MySejahtera perlu mendapatkan vaksin mengikut janji temu seperti yang ditetapkan.

“Disarankan agar tidak mendaftar nama dalam mana-mana senarai menunggu,” jelas kenyataan itu.

Menurut ProtectHealth, pendaftaran tersebut boleh dilakukan mengikut senarai PPV yang sentiasa dikemas kini dari masa ke masa di laman web ProtectHealth (www.protecthealth.com.my) bermula Isnin ini.

“Kami menggesa mereka yang telah mendapatkan janji temu vaksin untuk segera mendapatkan vaksin.

“ProtectHealth melalui pengamal perubatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan akan terus membantu mengurangkan beban Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mempercepatkan dan memperluaskan capaian vaksinasi dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here