Home Koronavirus PICKids: Sabah perluas pemberian vaksin ke setiap sekolah

PICKids: Sabah perluas pemberian vaksin ke setiap sekolah

0
PICKids: Sabah perluas pemberian vaksin ke setiap sekolah

KOTA KINABALU – Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) bagi memberi vaksinasi kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Sabah dipertingkatkan lagi dengan memperluaskan program itu ke sekolah rendah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, inisiatif itu telah dimulakan di daerah Tambunan melibatkan beberapa sekolah rendah pada 12 Februari lepas dengan 60 kanak-kanak menerima dos pertama vaksinasi mereka.

“Kakitangan JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Sabah) bersedia untuk pergi ke sekolah-sekolah bagi menjalankan program vaksinasi agar mereka (kanak-kanak) yang layak diberi vaksin mendapat perlindungan maksimum (daripada risiko jangkitan Covid-19).

“Jumlah kanak-kanak dijangkiti Covid-19 (di Sabah setakat ini) adalah tinggi. Justeru, saya fikir ibu bapa harus mengambil inisiatif untuk memastikan anak-anak mereka mendapat vaksinasi kerana pada akhirnya keputusan adalah pada tangan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran PICKids peringkat negeri di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor di sini pada Selasa.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, program vaksinasi itu akan dijalankan di 1,705 sekolah rendah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan perbincangan sama ada ia dijalankan secara berkelompok atau mengikut sekolah masing-masing akan dibincang.

Katanya, inisiatif itu bertujuan memastikan ibu bapa termasuk di pedalaman berpeluang membawa anak-anak mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19, selain usaha meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun memandangkan jumlahnya masih lagi rendah.

“Ibu bapa mempunyai banyak pilihan sama ada pergi secara terus ke pusat pemberian vaksin (PPV) disediakan, daftar melalui MySejahtera atau ke klinik kesihatan. Jadi, tiada alasan lagi untuk tidak pergi (vaksinasi).

“Jika orang dewasa dia boleh pergi sendiri, tapi kanak-kanak, mereka terpaksa ikut ibu bapa mereka. Jika ibu bapa tidak bawa, anak-anak tidak akan dapat suntikan vaksinasi sedangkan itu adalah hak mereka (anak-anak),” katanya.

Setakat ini, seramai 9,686 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di Sabah telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 sejak PICKids dimulakan di lima hospital iaitu HWKKS, Hospital Duchess of Kent Sandakan, Hospital Keningau, Hospital Lahad Datu dan Hospital Tawau pada 3 Februari lepas.

Program itu turut diperluas ke seluruh Sabah dengan penubuhan 145 PPV melibatkan 109 Klinik Kesihatan, 22 hospital, 18 klinik swasta dan empat PPV awam, yang dipantau oleh pakar dan pegawai perubatan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here