Home Koronavirus Pertimbang semula harga kit ujian kendiri

Pertimbang semula harga kit ujian kendiri

0
Pertimbang semula harga kit ujian kendiri

SHAH ALAM – Kerajaan disaran meletakkan harga kit ujian kendiri dalam barang kawalan harga dan memberikan subsidi kepada golongan tertentu terutama B40.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ini kerana ia perlu dinilai mengikut jumlah isi rumah yang berkemungkinan memerlukan tiga hingga lima kit yang mana jumlahnya agak membebankan untuk golongan susah.

“Cara lain, bantuan kit ujian kendiri ini disasarkan kepada golongan B40 ke bawah yang disyaki menjadi kontak rapat atau bergejala. Mereka boleh mendapat bantuan ini sekiranya golongan sasar tertentu ditetapkan.

“Kerajaan diharap dapat mempertimbangkan semula untuk mengurangkan kos bagi kit ujian kendiri kerana ia merupakan satu keperluan pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mereka yang melakukan ujian kendiri perlu bertanggungjawab untuk melaporkan hasil ujian mereka kepada pihak kesihatan.

Tambah Lam Thye, sekiranya disahkan positif Covid-19, seharusnya tahu apa yang perlu dilakukan dan menjalani rawatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan terhadap pesakit Covid-19 termasuk kuarantin diri, mendapatkan gelang merah jambu dan sebagainya.

“Mereka juga wajib melaporkan keputusan ujian mereka ke pihak kesihatan terdekat segera mungkin sebaik sahaja mendapat keputusan.

“Ini penting bagi mengelakkan mereka yang disahkan positif Covid-19 tidak berada dalam kelompok orang ramai dan menjadi sporadik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar setiap pihak yang menggunakan kit ujian kendiri diberi manual pelupusan kit yang tepat dan tidak membahayakan.

Jelasnya, pelupusan kit ini sangat penting untuk diaplikasikan oleh setiap pengguna bagi mengelakkan kuman tidak tercemar sewenang-wenangnya.

“Selain itu, ia juga bagi memastikan alam sekitar tidak tercemar dan tidak mendatangkan bahaya kepada manusia dan haiwan lain.

“Ini penting bagi mengelakkan berlakunya masalah-masalah lain akibat kecuaian penggunaan kit ujian kendiri tanpa pengawasan pihak kesihatan. Selama ini, kita bergantung kepada agensi kesihatan untuk membendung penularan wabak ini. Tetapi kit ujian kendiri ini merupakan satu amanah dan kepercayaan yang diberikan untuk memudahkan kita semua melakukan ujian kendiri.

“Pastikan kebertanggungjawaban dan amanah kita dalam penggunaan kit ujian kendiri ini berada pada tahap yang paling tinggi untuk kita berjaya memerangi wabak pandemik ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here