SHAH ALAM – Selangor perlu mencapai kadar vaksinasi sebanyak 30 peratus daripada populasinya dengan segera bagi memastikan penularan Covid-19 di negeri ini berada dalam keadaan yang terkawal.
Pakar virologi dari Universiti Malaya, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, peningkatan pemberian vaksin itu perlu dilaksanakan bagi membolehkan negeri itu mencapai penurunan yang mendadak bagi kes positif harian dan kematian.
Beliau berpandangan, langkah tersebut merupakan antara prasyarat yang perlu dipenuhi sebelum Selangor bergerak ke fasa seterusnya dalam proses pemulihan daripada Covid-19.
“Sasaran 30 peratus itu kerana saya menganggarkan lebih kurang 15 peratus daripada penduduk Selangor telah pun terdedah kepada jangkitan sebelum ini.
“Jadi dengan 15 peratus yang telah dijangkiti sebelum ini, maknanya mereka yang mendapat imunisasi secara semula jadi kalau dicampurkan dengan yang dapat suntikan vaksin, kita akan mencapai sekurang-kurangnya 40 ke 50 peratus kumpulan yang terlindung.
“Kalau kita telah mencapai ke peringkat itu, baru impak penurunan kadar positif dan kadar kematian dapat dilihat. Selagi belum capai, saya rasa keadaan ini (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan) akan berpanjangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Isnin, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan, negeri itu telah mencapai sasaran 10 peratus penduduk yang divaksin berdasarkan kadar orang dewasa berusia 18 tahun ke atas.
Dalam kenyataan lain, Amirudin turut menyatakan bahawa Selangor menyasarkan 80 peratus penduduk dewasa negeri itu akan menerima vaksin menjelang Oktober tahun ini.
Mengulas lanjut, Dr Sazaly berkata, sekiranya kerajaan berjaya mempercepatkan kadar vaksinasi di Selangor mulai sekarang, sasaran 30 peratus itu dijangka dapat dicapai pada September ini dengan mengambil kira sela masa untuk pengambilan vaksin dua dos.
Dalam pada itu, beliau berkata, punca utama kes sporadik terus menjadi penyumbang terbesar kepada penularan Covid-19 adalah kerana kegagalan negara untuk memutuskan rantaian penularan wabak itu.
Beliau berkata, rantaian penularan Covid-19 itu bermula daripada tempat kerja sebelum dibawa ke peringkat komuniti dan seterusnya kembali berbalik ke tempat kerja.