SHAH ALAM – “Seseorang pemimpin yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 perlu diberi hukuman lebih berat berbanding rakyat biasa apatah lagi jika ia melibatkan pemimpin yang bertanggungjawab menguatkuasakan SOP tersebut.”
Demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berkenaan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mempertahankan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein melanggar SOP di Majlis Pelancaran Briged MIC Johor, Iskandar Puteri, Johor pada Ahad.
Menurutnya, tindakan Ismail Sabri berbuat demikian jelas mencerminkan kekusutan akauntabiliti dan amalan dua darjat kerajaan Barisan Nasional (BN).
Wei Kiat berkata, alasan yang digunakan oleh Perdana Menteri bahawa pelanggaran SOP Covid-19 bukan satu jenayah membuktikan bahawa kerajaan tidak serius dalam membendung penularan wabak tersebut, khususnya dengan jumlah kes harian yang mencecah lebih 20,000 kes.
“Ini bukan berkenaan isu pelanggaran SOP adalah satu jenayah atau tidak, namun dalam situasi terkini jangkitan wabak Covid-19 ini, pemimpin kerajaan sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat untuk mematuhi peraturan bagi mengekang penularan virus.
“Ini bukanlah pertama kali pemimpin kerajaan melanggar SOP. Jika kompaun dikenakan kepada kaum ‘kayangan’, tidak ada masalah untuk mereka melanggar undang-undang walaupun seribu kali kerana mereka mampu membayar denda.
“Namun jika rakyat biasa melanggar SOP, ada yang telah dijatuhi hukuman penjara kerana tidak mampu (bayar kompaun),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu, Wei Kiat berkata, tindakan Ismail Sabri yang mempertahankan Hishammuddin memperlihatkan bahawa undang-undang dirangka demi menjamin keselamatan rakyat seolah-olah tidak dihormati oleh golongan tersebut.
Beliau menggesa supaya Perdana Menteri tidak memandang ringan isu pelanggaran SOP Covid-19, terutamanya yang melibatkan pemimpin kerajaan dan parti politik serta menuntut sebuah kerajaan akauntabiliti yang peka dengan nasib rakyat.
“Maka, tidak hairanlah kerajaan BN dengan sewenang-wenangnya meletakkan rakyat dalam risiko kesihatan dengan mengadakan pilihan raya untuk merebut kuasa.
“Oleh itu, saya menggesa agar Perdana Menteri tidak memandang ringan isu pelanggaran SOP Covid-19, terutamanya yang melibatkan pemimpin kerajaan dan parti politik kerana rakyat sudah muak dengan sikap pemimpin kerap membelakangi peraturan,” katanya.