SINGAPURA – Seorang rakyat Malaysia berusia 17 tahun adalah antara 45 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan Khamis, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.
Dirujuk sebagai kes 64000, pesakit yang juga penuntut Malaysia telah berada di Singapura sejak September 2020 untuk mengunjungi keluarganya di Singapura, menurut data lengkap kementerian dikeluarkan malam tadi.
“Dia mengalami demam dan batuk pada 29 Mei tetapi tidak mendapatkan rawatan. Pelajar itu tergolong dalam kluster kes 63,941,” kata kementerian republik tersebut.
Kes pertama kluster ini melibatkan seorang wanita Vietnam berusia 36 tahun yang disahkan Covid-19 pada 1 Jun.
Memandangkan pelajar tersebut telah dikenal pasti sebagai kontak isi rumah daripada tiga kes yang dilaporkan sebelum ini termasuk warga Vietnam, kini dia dikuarantin sejak 1 Jun lalu.
“Pelajar berkenaan menjalani ujian saringan Covid-19 pada hari yang sama. Hasil ujian mendapati dia kembali positif Covid-19 pada 2 Jun. Bagaimanapun, hasil ujian serologi belum diketahui, ”katanya.
Sementara itu, dua lagi rakyat Malaysia antara kes baharu dilaporkan pada Khamis, seorang dikaitkan dengan kluster penghantar makanan McDonald’s; dan seorang lagi dikategorikan sebagai kes import.
Sehingga tengah hari Khamis, republik ini melaporkan sejumlah 62,145 kes Covid-19 dengan 44 kluster terbuka dan yang terbesar melibatkan Terminal 3 Lapangan Terbang Changi dengan 108 kes.
Buat masa ini terdapat 231 pesakit masih dirawat di hospital, dengan kebanyakannya stabil atau bertambah baik.
Bagaimanapun, dua dalam keadaan kritikal di Unit RawatanRapi dan 11 memerlukan bantuan oksigen.- Bernama