KUALA LUMPUR – Peniaga dan pekerja Pasar Borong Kuala Lumpur melahirkan rasa lega selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Vaksinasi Bergerak MyMedik@Wilayah pada Ahad.
Peniaga sayur, Lee Kok Ming, 40 berkata, program tersebut membantu mempercepatkan mereka menerima suntikan vaksin tanpa perlu menunggu giliran di MySejahtera.
Menurutnya, suntikan vaksin yang diterima itu memberikan keyakinan buatnya untuk terus bekerja di pasar borong yang terdedah jangkitan Covid-19.
“Lebih enam kali saya jalani ujian saringan, setiap kali ada kes positif di pasar borong, kami kena buat saringan.
Walaupun bimbang dengan keselamatan diri namun kami tiada pilihan, perlu beranikan diri bekerja untuk menyara keluarga.
“Suntikan vaksin ini dapat kurangkan kebimbangan dan dapat bekerja dengan lebih selesa.
Pada masa sama, keselamatan diri dan keluarga juga lebih terjamin,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pemandu lori, M Vijayan, 54, meluahkan rasa gembira kerana nasib pekerja pasar borong yang terdedah dengan jangkitan Covid-19 mendapat perhatian Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) yang menyegerakan suntikan vaksin melalui Program Vaksinasi Bergerak MyMedik@Wilayah.
“Saya berurusan setiap hari di pasar borong dan berjumpa dengan orang, jadi risiko jangkitan itu tinggi.
“Sebelum terima vaksin saya ambil langkah berhati-hati dan amalkan prosedur operasi standard (SOP), apabila menerima suntikan vaksin ini, tahap keselamatan lebih terjamin,” katanya.
Seorang pekerja penolak troli, Muhamad Rohaizam Shafiq Mohd Zamry, 21, berkata, ‘fast track’ yang diberikan buat pekerja pasar borong menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan pekerja yang berisiko terdedah jangkitan Covid-19.
“Mulanya saya takut untuk terima vaksin tapi melihat risiko semasa bekerja, saya beranikan diri dan cuba menyegerakan suntikan dengan memohon pendaftaran AstraZeneca namun tidak berjaya.
“Saya lihat ramai juga warga emas yang masih menunggu giliran. Apabila pekerja borong didahulukan menerima suntikan pastinya saya lega kerana tidak perlu menunggu lebih lama,” katanya.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang turun meninjau perjalanan program berkenaan berkata, suntikan vaksin tersebut menyakinkan orang awam untuk berurusan di Pasar Borong Kuala Lumpur.
Menurutnya, pasar borong melalui dua kali kluster iaitu sewaktu diawal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan baru-baru ini melibatkan lebih 100 peniaga didapati positif Covid-19.
“Oleh sebab itu, kami merasakan pekerja pasar borong perlu didahulukan untuk mendapat suntikan supaya boleh meneruskan aktiviti perniagaan dalam keadaan lebih terjamin.
“Kami harap ini akan memberikan keyakinan kepada orang awam.
Melalui program hari ini (Ahad), apa yang disyorkan orang awam telah kita laksanakan. Mereka mahukan pekerja pasar borong bersih dari sudut kesihatan awam dan tempat yang lebih baik,” katanya.
Katanya, suntikan vaskin melibatkan keseluruhan pekerja dan kakitangan sokongan dianggarkan seramai 2,000 orang.