Home Koronavirus PBT perlu kreatif pastikan SOP dipatuhi

PBT perlu kreatif pastikan SOP dipatuhi

0
PBT perlu kreatif pastikan SOP dipatuhi

LENGGONG – Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak diminta mencari pendekatan kreatif dalam memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di bazar Ramadan dipertingkatkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, tahap pematuhan SOP bazar Ramadan seperti dilaporkan kurang memuaskan kerana pengunjung dan peniaga alpa dengan pematuhan tersebut.

Menurutnya, PBT mungkin boleh menempatkan penguat kuasa mereka di setiap bazar Ramadan bagi mengingatkan penganjur, peniaga dan pengunjung agar terus mematuhi SOP ditetapkan.

“Semasa berkunjung itu memang kebanyakan menggunakan ‘mask’ sebab ia wajib tetapi penjarakan fizikal itu tidak dijaga. Jarang sekali kita lihat mereka bawa ‘hand sanitizer’. Pakai ‘mask’ sahaja tidak mencukupi. Bila bersentuhan kemungkinan dapat jangkitan ada.

“Kita faham orang nak beli barang tapi kena ada penjarakan. Kita doa supaya tidak ada berlaku apa-apa kluster bazar Ramadan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Seronok Beraya di Dewan Kompleks Komuniti Desa Kemas, di sini pada Jumaat.

Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.

Beliau berkata, jika berlaku kluster melibatkan bazar Ramadan, Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan untuk mencadangkan keperluan menutup bazar Ramadan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, mengenai pelancaran Program Seronok Beraya, Saarani berkata, ia merupakan program pemberian keperluan Hari Raya Aidilfitri kepada penerima terpilih di seluruh Perak.

Katanya, program tersebut bertujuan berkongsi kemeriahan dan kegembiraan menyambut Syawal bagi meringankan beban golongan asnaf, anak yatim serta ahli keluarga B40.

“Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM465,000 untuk pemberian khas hari raya berjumlah RM150 setiap seorang dengan menyasarkan 3,100 orang penerima di seluruh Perak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here