KUALA LUMPUR – Ibu bapa dan penjaga yang telah membuat janji temu dos penggalak bagi remaja berusia bawah 17 tahun, diminta membatalkan janji temu berkenaan dan tidak perlu hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Unit MySejahtera Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, individu dewasa yang membuat janji temu bagi mendapatkan dos keempat melalui pautan yang dihantar menerusi aplikasi MySejahtera, juga perlu membatalkan janji temu berkenaan.
“Memandangkan janji temu dalam sistem MySejahtera dihantar secara automatik, terdapat isu teknikal di mana sistem tersebut telah menghantar pautan janji temu untuk dos penggalak kepada remaja, iaitu golongan berusia 17 tahun dan ke bawah.
“Terdapat juga individu dewasa yang sudah pun menerima dos penggalak, turut menerima pautan janji temu untuk dos penggalak,” katanya.
Menurut kenyataan itu, dasar KKM pada masa ini hanya menyarankan dos penggalak diberi kepada individu dewasa berusia 18 tahun dan ke atas, dan tiada dos penggalak kedua atau dos keempat diberikan kepada umum.
Menurut kenyataan itu, pasukan teknikal MySejahtera sedang memperbetulkan perkara berkenaan, dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul daripada masalah teknikal tersebut.
Pada 17 Mac lalu, KKM memaklumkan tempahan slot vaksinasi bagi individu yang belum menerima vaksinasi lengkap, dos penggalak atau vaksinasi kanak-kanak, boleh dibuat melalui pautan yang dihantar bersama janji temu ke aplikasi MySejahtera.
Pautan janji temu itu akan diberikan secara automatik berdasarkan sela masa yang ditetapkan mengikut jenis vaksin. – Bernama