GEORGE TOWN – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di Pulau Pinang padfa Jumaat tampil menghulurkan sumbangan kemudahan dan peralatan perubatan yang amat diperlukan oleh Hospital Pulau Pinang (HPP).
Pagi Jumaat, One Hope Charity and Welfare menyumbangkan sebuah kontena sejuk beku berukuran 40 kaki kepada jabatan forensik hospital itu.
Pengerusinya, Datuk Chua Sui Hau berkata, kontena itu akan berfungsi sebagai bilik mayat khas dan mampu memuatkan antara 36 hingga 50 mayat pesakit yang meninggal dunia akibat Covid-19.
Beliau berkata, sumbangan itu adalah bagi memenuhi permintaan HPP susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di Pulau Pinang dan memerlukan bantuan segera.
“Kami menerima permintaan untuk mendapatkan bantuan itu daripada pihak hospital beberapa hari lepas yang memaklumkan kami bahawa bilik mayat hospital sudah terlalu penuh dan memerlukan sebuah kontena sejuk beku dengan kadar segera bagi menyimpan mayat pesakit,” katanya kepada pemberita semasa sesi penyerahan kontena itu di jabatan forensik HPP di sini.
Timbalan Pengarah (Perubatan) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Dr Nur Aslina Bahakodin; Pengarah HPP, Datuk Dr Teo Gim Sian; Ketua Jabatan Forensik HPP, Datuk Dr Zahari Noor dan Penasihat One Hope Charity, Datuk Seri R. Arunasalam hadir semasa sesi penyerahan kontena itu.
Selain kontena sejuk beku, Chua berkata, One Hope turut menyumbang dua unit katil Unit Rawatan Rapi Kardiologi (ICC) beserta peralatan yang diperlukan kepada HPP.
“Nilai dua unit katil ICC itu, yang diharap dapat meningkatkan kemudahan hospital, ialah kira-kira RM54,000,” katanya.
Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) dan Temple of Fine Arts (TFA) turut menyumbang tiga unit pemekat oksigen kepada HPP.
Pengerusi PHA P. Murugiah berkata, pihaknya dan TFA berjaya memperoleh lima unit pemekat oksigen dengan setiap satu bernilai RM3,500.
“Tiga daripadanya disumbangkan kepada Pusat Rawatan Covid-19 HPP manakala bakinya akan digunakan dalam Program Pinjaman Pemekat Oksigen di Rumah Secara Percuma PHA dan TFA untuk pesakit Covid-19 yang dikuarantin di rumah serta memerlukan mesin oksigen,” katanya. – Bernama