Home Koronavirus MHC saran kerajaan pertimbang peraturan kawalan Covid-19

MHC saran kerajaan pertimbang peraturan kawalan Covid-19

0
MHC saran kerajaan pertimbang peraturan kawalan Covid-19

SHAH ALAM – Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) menyarankan kerajaan mempertimbangkan semula beberapa peraturan berkenaan langkah kawalan Covid-19 yang diberi kelonggaran bermula 1 Mei.

Dalam satu kenyataan, gabungan itu yang terdiri daripada 18 pertubuhan mewakili pakar dan petugas sektor kesihatan serta lima individu itu menggariskan tiga perkara yang perlu diberi perhatian termasuk kelonggaran pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka serta penilaian ujian kendiri dalam aplikasi MySejahtera.

“Sejurus selepas kelonggaran diberi termasuk penghapusan pemakaian pelitup muka di Amerika Syarikat dan United Kingdom, bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital meningkat dengan kadar kematian tinggi.

“Di Malaysia hanya 21 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah menerima sekurang- kurangnya satu dos vaksin, masih tiada vaksinasi bagi kanak-kanak berumur bawah lima tahun.

“Kanak-kanak berisiko dijangkiti Covid-19 dan kelonggaran pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka perlu dilaksanakan dengan berhati-hati,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

MHC menegaskan, kerajaan juga perlu mempertimbangkan semula dasar kelonggaran pemakaian pelitup muka sekiranya keadaan epidemiologi, virologi atau kesihatan awam berubah.

Menurutnya, keperluan untuk meningkatkan kapasiti penjujukan genomik bagi mengesan varian baru perlu diambil kira memandangkan Malaysia masih berada di fasa peralihan ke endemik.

“Kita perlu terus mendidik rakyat Malaysia bahawa Covid-19 masih merupakan ancaman kepada kesihatan awam rakyat.

“Selain itu dasar ujian dan pelepasan (test and release) yang membenarkan penamatan kuarantin pada hari ke-4 jika ujian RTK Antigen didapati negatif mungkin perlu dipertimbang semula.

“Rakyat Malaysia mesti memainkan peranan untuk melaporkan semua keputusan ujian kendiri melalui MySejahtera dan menjalani kuarantin di rumah sekiranya status profil aplikasi itu menunjukkan risiko tinggi atau telah menerima arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here