PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia menanti dengan penuh harapan kedatangan Ahad ini yang bakal mencatat sejarah dan akan kekal terpahat dalam ingatan.
Ini kerana pada 21 Februari, penghantaran pertama bekalan vaksin Covid-19 akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bagi membolehkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, program vaksinasi terbesar di negara ini, digerakkan lima hari kemudian.
Pesawat penumpang Airbus A330-300 milik syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines akan menerbangkan 312,390 dos vaksin jenis Pfizer-BioNTech itu.
Pesawat berkenaan akan dihiasi livery Jalur Gemilang sebagai simbolik melambangkan vaksin tersebut adalah untuk rakyat Malaysia.
Penerimaan vaksin bagi program vaksinasi terbesar di negara bagi melindungi rakyat daripada virus membawa maut itu akan berlangsung di Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA.
Beberapa menteri Kabinet dijadual hadir termasuk Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan serta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Sebaik pesawat mendarat, vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) akan dipindahkan dari bahagian kargo pesawat ke lori lima tan milik sebuah syarikat pengangkutan.
Selesai proses pemindahan, lori berkenaan akan diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ke lokasi penyimpanan vaksin ditetapkan sebagai langkah keselamatan.
Pihak yang terlibat dalam proses ketibaan vaksin seperti MAB Kargo Sdn Bhd (MASkargo), Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi serta Kementerian Pengangkutan kini sibuk melakukan persiapan bagi memastikan proses membawa vaksin itu berjalan lancar pada Ahad ini.
MASkargo yang ditugaskan menyelaraskan penerimaan vaksin itu di kawasan KLIA, akan melaksanakan proses pengurusan vaksin mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan supaya keberkesanannya tidak terjejas.
Program vaksinasi terbesar dengan tema ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ adalah strategi kerajaan untuk memastikan sebanyak mungkin penduduk di Malaysia menerima vaksin Covid-19 bagi menyelamatkan nyawa.
Sebanyak 1,030 orang di negara ini meninggal dunia akibat Covid-19 setakat tengah hari pada Khamis. Virus itu telah menjangkiti 274,875 orang dengan 235,082 orang telah pulih.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menawarkan diri menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin itu pada 26 Feb, bersama-sama petugas barisan hadapan.
Program imunisasi itu dibahagikan kepada tiga fasa dengan yang pertama bermula 26 Februari hingga April 2021, melibatkan petugas barisan hadapan sektor awam dan swasta serta pertugas dalam perkhidmatan penting dan pertahanan serta keselamatan.
Fasa kedua bermula April hingga Ogos 2021, bagi baki petugas kesihatan serta dalam perkhidmatan penting dan pertahanan, kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Fasa ketiga pula bermula dari Mei 2021 hingga Februari 2022, untuk golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara, dengan keutamaan kepada mereka yang berada dalam zon merah dan kemudian kuning dan hijau.
Menurut Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), adalah diharapkan ekonomi negara pulih dan kehidupan rakyat menjadi lebih baik selepas usaha vaksinasi itu selesai. – Bernama