PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menafikan dakwaan bahawa ramai kumpulan orang kenamaan (VVIP) di kementeriannya positif Covid-19.
Menerusi laman Facebook, MAFI menjelaskan sehingga kini tiada VVIP di kementerian itu positif Covid-19 malah pihak itu sentiasa menjalankan pemantauan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah mempercayai maklumat yang tular tanpa sumber yang sahih.
“Sebaliknya sentiasa membuat semakan fakta di laman sesawang dan media sosial rasmi kementerian, jabatan serta agensi untuk mendapatkan maklumat yang terkini dan sahih,” menurut kenyataan itu.
Dakwaan itu dikeluarkan oleh seorang pengguna Twitter sebelum ia menjadi tular di media sosial.