Home Koronavirus Lebih 70 peratus responden kajian sedia terima dos penggalak

Lebih 70 peratus responden kajian sedia terima dos penggalak

0
Lebih 70 peratus responden kajian sedia terima dos penggalak

KUALA LUMPUR – Sebanyak 71.4 peratus daripada 1,075 responden dalam kajian mengenai penerimaan rakyat di negara ini terhadap dos penggalak vaksin Covid-19 bersedia menerima dos berkenaan, menurut Pusat Penyelidikan Undian UCSI.

UCSI dalam kenyataan pada Rabu berkata, hasil kajian itu turut mendapati 18.4 peratus daripada keseluruhan responden terbabit tidak pasti sama ada ingin menerima dos penggalak manakala 10.2 peratus memilih untuk menolak suntikan berkenaan.

“Kaji selidik ini menunjukkan tahap penerimaan orang awam terhadap dos penggalak adalah tinggi (71.4 peratus) dengan alasan utama, mereka berasa lebih selamat dengan menerima dos ketiga itu.

Sementara, bagi mereka yang tidak pasti dan menolak untuk menerima dos penggalak ini, sebahagian besarnya kerana tidak pasti dengan kesan selepas menerima suntikan tersebut,” menurut kajian itu.

Maklum balas lain diberikan responden yang memilih untuk suntikan dos penggalak, antaranya kerana percaya dan patuh arahan kerajaan serta mudah diserang Covid-19.

“Alasan memilih ‘tidak’ dan ‘tidak pasti’ antaranya risau sekiranya ada sebarang komplikasi selepas suntikan dos penggalak, berasa cukup selamat dengan dua dos suntikan serta tidak memiliki pengalaman baik ketika proses vaksinasi,” menurut kajian itu.

Dalam pada itu, kajian berkenaan berpendapat, dos penggalak mungkin dilihat sebagai perlindungan tambahan daripada Covid-19 dan membolehkan orang awam menjalani kehidupan seharian dengan lebih yakin.

“Kebimbangan orang awam terhadap komplikasi selepas menerima dos penggalak tidak sepatutnya tidak diendahkan dan sebarang maklumat yang komprehensif, potensi mahupun statistik kes komplikasi perlu didedahkan kepada umum supaya mereka dapat membuat keputusan terhadap pengambilan dos penggalak,” menurut kajian itu. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here