SHAH ALAM – Perbelanjaan membeli kit ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19 mungkin dapat dikurangkan sekiranya orang ramai tahu masa yang sesuai untuk melakukan ujian berkenaan.
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (PFM), Amrahi Buang berkata, dengan pengetahuan itu masyarakat tidak akan membuat pembelian panik sehingga mengakibatkan bekalan tersebut tidak mencukupi di pasaran.
Beliau berkata, tidak dinafikan dalam situasi kes jangkitan mendadak susulan gelombang Omicron ketika ini menyebabkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dengan sentiasa membuat ujian RTK dalam tempoh yang kerap.
“Kita sarankan kepada masyarakat untuk tidak membuat pembelian panik kerana kita kena faham dan tahu bila sebenarnya masa yang mengehendaki kita membuat ujian tersebut.
“Selain itu, kita juga yakin bahawa apabila tiada pembelian panik, bekalan untuk peralatan itu tidak akan terganggu dan tidak berlaku apa yang kita sebut bekalan tidak mencukupi.
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan situasi yang boleh mencetuskan panik tidak berlaku.
“Berdasarkan laporan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga bekalan ujian pantas (RTK) Antigen Covid-19 dalam negara adalah mencukupi,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Amrahi turut mengesyorkan agar kerajaan menambah baik aplikasi MySejahtera dengan meletakkan senarai farmasi di seluruh negara untuk memberi kemudahan kepada masyarakat khususnya yang menjalani kuarantin di rumah mendapatkan bekalan ubat dan sebagainya.
Katanya, selari dengan langkah kerajaan yang membenarkan pelaksanaan kuarantin di rumah, masyarakat memerlukan bantuan ahli farmasi komuniti untuk memberi garis panduan ketika menjalani tempoh berkenaan.
“Apa yang boleh dibuat oleh ahli farmasi komuniti adalah membuat pakej kuarantin.
“Dalam pakej itu mereka boleh masukkan perkara yang patut ada seperti peralatan contoh RTK Antigen Covid-19, parasetamol dan sebagainya yang mana kalau ada permintaan, ia boleh dihantar kepada individu yang kuarantin,” katanya.