KOTA BHARU – Kerajaan negeri menyediakan bantuan khas sebanyak RM1,500 untuk pengurusan jenazah Covid-19 melibatkan rakyat yang berada dalam kumpulan B40.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob berkata, inisiatif tersebut merupakan bantuan khas kerajaan negeri melibatkan peruntukan sehingga RM300,000.
“Bantuan ini adalah untuk meringankan bebanan keluarga mereka yang terlibat melalui keprihatinan kerajaan kepada rakyat dan Insya-ALLAH ia akan bermula pada 15 Ogos ini.
“Pelaksanaannya hanya memerlukan keluarga terbabit mengisi borang dan serahkan kepada pihak pengurusan untuk tujuan tuntutan dengan kerajaan,” katanya.
Belaiu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Rabu.
Sebelum ini timbul pelbagai isu melibatkan pengurusan jenazah Covid-19 yang didakwa mengenakan caj yang tinggi iaitu mencecah RM700 hingga RM1,800 bagi kos pengurusan mayat.
Bagaimanapun, Ahmad berkata, isu tersebut tidak timbul di Kelantan, namun pihaknya mengambil inisiatif memperuntukan bantuan khas tersebut bagi membantu mereka yang memerlukan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun kerajaan memberikan kelonggaran pergerakan rentas dan sebagainya, namun masyarakat perlu menjaga diri masing-masing dan menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ahmad memberitahu, kerajaan negeri juga menyediakan elaun tambahan kepada 587 orang imam tua, imam muda dan bilal di seluruh negeri.
Menurutnya, kenaikan elaun tersebut melibatkan RM150 masing-masing untuk imam tua dan imam muda manakala RM50 untuk bilal, bermula Julai lalu.
“Sebagai contoh, untuk masjid Mukim Kategori A, imam tua kini menerima elaun RM1,700 dan dengan kenaikan itu maka elaun bertambah menjadi RM1,850 manakala imam muda pula RM1,350 dan bilal RM800,” katanya.