Home Koronavirus Kelantan guna masjid, surau dan pondok sebagai PPV sementara

Kelantan guna masjid, surau dan pondok sebagai PPV sementara

Kelantan guna masjid, surau dan pondok sebagai PPV sementara

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan menjadikan masjid, surau dan pusat pengajian pondok sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Husin berkata, langkah itu merupakan usaha terbaharu yang digerakkan bagi merancakkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di negeri Che Siti Wan Kembang ini.

“Sehingga kini, JKNK telah menyuntik kira-kira 600 penduduk melalui PPV sementara.

“Alhamdulillah, bila kita turun padang sambutan yang diberikan oleh penduduk amat menggalakkan (untuk mendapatkan suntikan vaksin),” katanya ketika ditemui semasa meninjau gerak kerja PICK di PPV sementara di Masjid Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, di sini pada Ahad.

Menurutnya, PPV sementara di kawasan masjid tidak terhad kepada Muslim semata-mata sebaliknya kaum-kaum lain akan turut menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan ini.

Beliau berkata, melalui program ini, JKNK mendapat sokongan padu daripada pemimpin setempat dalam mengumpul senarai untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Dr Zaini berkata, selain itu, senarai nama turut diambil menerusi pendaftaran yang dibuat menggunakan aplikasi Mysejahtera.

Katanya, PPV sementara ini merupakan salah satu kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat mendapatkan suntikan.

“JKNK dan kerajaan negeri menyasarkan supaya PICK di Kelantan dapat dijayakan dengan secepat mungkin dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here