KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan individu yang mendapat tarikh janji temu dos penggalak vaksin Covid-19 untuk hadir bagi menerima suntikan tersebut.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ini susulan kadar keberkesanan vaksin Covid-19 akan menurun selepas beberapa bulan.
“Sebab itu PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) memberi dos penggalak.
“Pemberian dos penggalak yang berbeza dari dos asal dilaksana di banyak negara. Di Chile, dos penggalak Pfizer kepada penerima Sinovac meningkatkan keberkesanan sehingga 95%,” katanya melalui ciapan di Twitter, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Khairy yang juga ahli Parlimen Rembau itu berkata, pemberian dos penggalak adalah strategi perlindungan yang penting terutamanya dengan pembukaan sektor ekonomi dan sosial.
“Jika anda menerima janji temu untuk dos penggalak, KKM menyarankan anda hadir dan menerima ‘booster shot’ untuk Covid-19,” ujarnya.
Kata Khairy, buat masa ini vaksin Pfizer-Biontech telah diluluskan untuk penggunaan dos penggalak bagi penerima vaksin Pfizer dan Sinovac.
“Kami juga sedang menilai kombinasi lain, untuk keselamatan dan keberkesanan dan akan mengumumkannya dalam beberapa minggu akan datang,” jelasnya.
Individu yang berusia 40 tahun ke atas dan mempunyai komorbiditi telah mula mendapatkan dos penggalak atau booster shot.
Orang ramai akan menerima tarikh janji temu menerusi aplikasi MySejahtera. – Awani