Home Koronavirus Jemaah umrah tertekan tempoh kuarantin dilanjutkan tanpa sebab

Jemaah umrah tertekan tempoh kuarantin dilanjutkan tanpa sebab

0
Jemaah umrah tertekan tempoh kuarantin dilanjutkan tanpa sebab

SHAH ALAM – Jemaah umrah yang pulang selepas menunaikan ibadah tersebut mengakui tertekan dengan prosedur operasi standard (SOP) di Pusat Kuarantin dan Rawat Covid-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang yang didakwa mengelirukan.

Salah seorang jemaah umrah, Mohd Faiz Mohd Rafeek, 35, berkata, dia bersama 27 jemaah lain yang dijangkiti virus Covid-19 diarahkan untuk menjalankan kuarantin di PKRC MAEPS, Serdang sehingga 13 Januari seperti yang tertera di dalam aplikasi MySejahtera.

Namun apabila tiba tarikh tamat kuarantinnya, dia tidak dibenarkan pulang ke rumah, malah tempoh penahannya dilanjutkan sehingga 16 Januari tanpa pihak terbabit mengemaskini tarikh baharu dalam aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, keadaan tersebut membuatkan para jemaah lain merasa tertekan dan mula mengalami tekanan emosi sehingga ada yang bertindak agresif.

“Pihak di sini tidak ikut tempoh masa kuarantin yang ditetapkan sebagaimana dalam aplikasi MySejahtera. Malah mereka maklumkan jika pesakit mempunyai sebarang penyakit, ia akan dilanjutkan lebih daripada masa yang telah ditetapkan di aplikasi MySejahtera.

“Sepatutnya saya tamat kuarantin pada 13 Januari, tapi mereka lepaskan saya pada 16 Januari walaupun saya tidak ada sebarang simptom atas alasan penetapan dalam MySejahtera dan tiada kena mengena dengan SOP kuarantin di sini, ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sementara itu, seorang lagi jemaah umrah, Muhammad Soffi Roslan, 35, berkata, dia pernah bertanyakan kepada doktor yang bertugas di PKRC berkenaan tentang isu lanjutan tempoh kuarantin yang tidak selari dengan penetapan dalam aplikasi MySejahtera.

Namun jawapan yang diterima olehnya menghampakan dan menyebabkan emosi dan kesihatan mentalnya terganggu.

“Bila kita tanya doktor, mereka tidak boleh berikan jawapan, malah mereka berkata pihaknya tidak menggunapakai tempoh kuarantin yang tertakluk dalam aplikasi MySejahtera.

“Saya harap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat menyelaraskan semua SOP di pusat-pusat kuarantin yang memudahkan pihak petugas di pusat tersebut menjawab segala persoalan pesakit,” katanya yang tinggal di Gurun, Kedah.

Pendapat sama turut disuarakan Mohd Faez Mohd Abu Bakar, 35, yang mencadangkan pihak terbabit memberikan alasan yang munasabah untuk melanjutkan tempoh kuarantin melebihi 10 hari seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Ujarnya, walaupun KKM mempunyai SOP tersendiri, PKRC di MAEPS didakwa membuat SOP khusus untuk pesakit-pesakit di pusat tersebut yang tidak sama seperti di tempat lain.

“Bila saya bertanya kenapa mereka berbuat demikian (lanjutkan tempoh kuarantin) dan meminta pekeliling berkenaan perkara itu, mereka berkata ia adalah arahan daripada pihak kementerian.

“Jadi kita mohon agar penyelarasan SOP dibuat segera agar jemaah-jemaah umrah akan datang mendapat layanan lebih baik daripada kami,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here