Home Koronavirus Janji temu dos penggalak melalui SMS, MySejahtera: KP Kesihatan

Janji temu dos penggalak melalui SMS, MySejahtera: KP Kesihatan

0
Janji temu dos penggalak melalui SMS, MySejahtera: KP Kesihatan

KUALA LUMPUR – Janji temu bagi penerima dos penggalak akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) ke telefon pintar ataupun melalui aplikasi MySejahtera bagi mempercepatkan lagi pemberian dos itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataannya mengingatkan masyarakat agar sentiasa cakna dengan pemakluman di telefon masing-masing agar tidak terlepas tarikh janji temu yang diberikan dan menyatakan sama ada bersetuju menerima dos penggalak atau tidak.

“Sekiranya terlepas tarikh janji temu yang diberikan, adalah disarankan agar menghadirkan diri ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terdekat untuk pendaftaran senarai menunggu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga semalam sebanyak 3,944,858 dos penggalak Covid-19 telah diberikan sejak pemberiannya diluluskan pada November lepas.

Katanya, ia dimulakan dengan kelompok tertentu iaitu individu berusia 40 tahun dan ke atas; individu berusia 18 tahun dan ke atas yang mempunyai komorbiditi; penghuni dan petugas di Pusat Jagaan Kesihatan Jangka Panjang, ibu mengandung dan individu dengan keperluan ke luar negara.

Mengenai situasi semasa jangkitan Covid-19, Dr Noor Hisham berkata jumlah kes baharu Covid-19 pada Rabu kembali menurun di bawah paras 4,000 iaitu 3,900 kes, berbanding 4,097 kes semalam (Selasa).

Beliau berkata, kes sembuh pula merekodkan 4,552 kes.

“Daripada 3,900 kes baharu dilaporkan hari ini, 86 kes atau 2.2 peratus adalah dalam Kategori Tiga, Empat dan Lima, manakala 3,814 kes atau 97.8 peratus terdiri daripada Kategori Satu dan Dua,” katanya.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 akan dimuat naik ke laman sesawang CovidNow di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here