KUALA LUMPUR – Ketika Malaysia sedang beralih ke fasa endemik Covid-19, ada satu persoalan besar yang mungkin perlu ditimbang oleh masyarakat, iaitu tentang jangkitan influenza di negara ini.
Influenza atau flu, merupakan penyakit respiratori berjangkit yang disebabkan oleh virus influenza dan boleh menjadi ancaman kesihatan yang serius buat kumpulan berisiko tinggi seperti wanita hamil, kanak-kanak, penghidap penyakit kronik dan warga emas. Jangkitan ini sebenarnya berlaku sepanjang masa di Malaysia dan adakala mencetuskan wabak dengan sesetengahnya agak serius.
Sepertimana yang ditunjukkan oleh pandemik Covid-19, penyakit respiratori ini juga boleh memberikan kesan paling teruk terhadap warga emas.
Warga tua, khususnya yang menghidap penyakit kronik, lebih berisiko mengalami flu yang teruk serta komplikasi mengancam nyawa yang mungkin memerlukan mereka dirawat di hospital atau, dalam sesetengah kes, ditempatkan di unit rawatan rapi.
PENINGKATAN KES FLU
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4Life (IFL) Profesor Datuk Dr Zulkifli Ismail, virus influenza kini muncul kembali dan berpotensi “mengganas dengan lebih hebat” selepas hampir lenyap akibat ketibaan Covid-19.
Katanya, selain Malaysia, negara-negara lain juga melaporkan peningkatan kes flu sejak kebelakangan ini.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan tentang jangkaan peningkatan kes flu susulan pembukaan semula sempadan antarabangsa Malaysia dan sektor-sektor lain, yang mana lebih ramai ahli masyarakat akan melakukan perjalanan ke luar kawasan selain lebih bebas bergaul.
Sambutan hari raya tidak lama lagi akan menyaksikan perhimpunan keluarga serta aktiviti rumah terbuka dan ini mungkin turut menyumbang kepada peningkatan jangkitan flu, tambahnya.
“Apabila ini berlaku, kebanyakan kita agak terdedah kepada jangkitan itu kerana rata-rata ahli masyarakat tidak divaksinasi bagi mencegah flu. Hakikat tidak ada penularan virus flu dalam tempoh dua tahun lepas memburukkan lagi keadaan kerana tahap imuniti populasi terhadap jangkitan tersebut adalah lemah,” jelasnya kepada Bernama.
Dr Zulkifli yang juga pakar perunding pediatrik dan ahli kardiologi pediatrik, turut berkata ramai rakyat Malaysia tidak dapat membezakan flu dan demam selesema biasa atau menganggap flu sebagai penyakit musim sejuk yang berlaku di negara beriklim sederhana.
“Kedua-dua tanggapan ini salah,” tegas beliau.
KADAR KERENTANAN TINGGI
Sementara itu, Dr Tan Maw Pin, profesor dalam bidang perubatan geriatrik di Universiti Malaya (UM), mendedahkan data yang agak membimbangkan tentang flu. Memetik kajian terkini yang diterbitkan oleh The Lancet, beliau berkata orang dewasa yang dijangkiti oleh kedua-dua Covid-19 dan flu, empat kali lebih berkemungkinan menerima ventilasi mekanikal invasif sementara risiko kematian pula meningkat dua kali ganda.
Satu lagi kajian terkini menunjukkan tujuh daripada 10 individu berusia 65 tahun ke atas yang dijangkiti flu, lebih berisiko mengalami komplikasi seperti paru-paru berair (pneumonia), radang otak, kegagalan pelbagai organ dan sepsis (tindak balas sistem imun yang melampau terhadap jangkitan).
“Kelemahan sistem imun dan kemerosotan fungsi paru-paru meningkatkan kemungkinan dijangkiti flu, dimasukkan ke hospital dan mungkin maut akibat penyakit itu. Namun, banyak keluarga langsung tidak sedar ibu bapa atau datuk dan nenek mereka yang sudah berusia dijangkiti flu,” jelasnya.
Dr Maw Pin berkata, penyakit itu lazimnya hadir bersama-sama gejala atipikal (tidak lazim) dalam kalangan warga emas, antaranya rasa pening yang mungkin menyebabkan mereka terjatuh dan kebingungan atau racauan yang disertai demam atau tanpa demam.
“Pernafasan kencang menunjukkan kandungan oksigen tidak mencukupi dan mungkin menyumbang kepada dehidrasi. Jika tidak dirawat, seseorang itu boleh mengalami flu teruk dan sindrom distres pernafasan akut (ARDS),” tambah beliau.
KOMBINASI MAUT
Profesor di Fakulti Perubatan UM Dr Chan Siew Pheng pula berkata, diabetes boleh memburukkan lagi jangkitan flu kerana kandungan gula dalam darah yang tinggi boleh menjejaskan sistem imun serta meningkatkan kekerapan dijangkiti dan tempoh jangkitan flu.
“Ramai penghidap diabetes turut mengalami komorbid iaitu menghidap penyakit lain seperti tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang, dan ini hanya meningkatkan kemungkinan mengalami komplikasi flu yang serius,” kata pakar endokrinologi itu, menambah lebih 40 peratus rakyat Malaysia berusia 60 tahun dan ke atas menghidap diabetes Jenis 2.
Beliau menjelaskan flu boleh meningkatkan kesukaran penghidap diabetes mengawal penyakit mereka, sekali gus menyebabkan kandungan gula dalam darah meningkat.
“Flu juga menjejaskan selera makan dan pengambilan makanan, menyebabkan kadar gula dalam darah turun. Keadaan mereka yang semakin teruk ini boleh mencetuskan kes kecemasan diabetes yang mengancam nyawa,” tambah beliau.
Dr Siew Pheng yang juga Presiden Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia, berkata selain penghidap diabetes, mereka yang mempunyai penyakit jantung turut berisiko tinggi mengalami komplikasi – enam kali lebih berkemungkinan mengalami serangan jantung selepas dijangkiti flu.
“Lebih memeranjatkan, kini jelas jangkitan flu meningkatkan risiko serangan jantung dan strok, iaitu 10 dan lapan kali ganda masing-masing, dalam kalangan individu yang tidak ada sejarah penyakit kardiovaskular,” tambah beliau.
AKIBAT YANG AMAT SERIUS
Sementara itu, Dr Zulkifli berkata, flu boleh mengakibatkan kesan yang amat serius terhadap warga tua dan keluarga mereka. Ini boleh berlaku apabila ibu bapa yang sudah berusia dimasukkan ke hospital dan anak-anak terpaksa menanggung kos rawatan.
Sekiranya proses pemulihan itu perlahan dan mengambil masa yang lama, penjaga terpaksa mengambil cuti, sekali gus menambahkan lagi beban keluarga, terutama yang berada dalam kelompok berpendapatan rendah, ujar beliau.
“Warga tua yang dimasukkan ke hospital atau terlantar di katil untuk satu tempoh yang lama, mungkin berdepan masalah kudis, kehilangan kekuatan otot, mengalami kemerosotan fungsi yang tidak dapat dipulihkan dan kehilangan upaya untuk melaksanakan tugas harian yang mudah.
“Ketidakmampuan menjaga diri sendiri dan menjadi beban kepada orang tersayang akan menyebabkan pesakit tertekan selain tidak dapat menikmati kehidupan berkualiti yang sepatutnya menjadi milik mereka,” katanya.
Dr Zainal berkata masalah kewangan dan emosi itu boleh dielak dengan menjadikan pencegahan flu sebagai sebahagian cara hidup sihat semasa menua.
“Cara paling berkesan untuk mencegah flu ialah dengan mendapatkan suntikan vaksin flu secara tahunan. Ini amat penting khususnya dalam kalangan warga emas kerana dapat mengurangkan risiko mereka menghidap penyakit yang teruk dan kemasukan ke hospital,” katanya.
Menurut Dr Zulkifli, statistik juga menunjukkan suntikan vaksin flu boleh mengurangkan keseriusan gejala selain menurunkan risiko penyakit kardiovaskular sebanyak 36 peratus, risiko dimasukkan ke hospital sebanyak 45 peratus dan risiko kematian sebanyak 42 peratus.
“Buat masa ini Kementerian Kesihatan tidak mempunyai apa-apa program vaksinasi flu. Kami harap keadaan ini akan berubah pada masa depan, bermula dengan vaksinasi tahunan untuk warga tua dan pesakit komorbid.
“Setakat ini, vaksinasi flu hanya ditawarkan oleh pengamal perubatan swasta di klinik dan hospital swasta,” tambahnya. – Bernama