KUALA LUMPUR – Hospital swasta seperti Hospital Pantai telah digunakan sebagai pusat vaksinasi bagi petugas kesihatan swasta untuk Fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata, kerajaan akan memasukkan lebih banyak hospital swasta bagi Fasa 2 dan 3 seperti yang diumumkan sebelum ini.
“Usaha giat akan dilakukan untuk memberi 75,000 ke 150,000 suntikan sehari untuk fasa seterusnya,” katanya dalam ciapan menerusi akaun Twitter hari ini.
Beliau mengulas ciapan bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang menyarankan kerajaan untuk membabitkan sektor swasta dalam ‘Kerjasama Awam-Swasta’ yang berkesan dan telus untuk pemberian vaksin Covid-19, jika kapasiti hospital awam tidak mencukupi.
Dr Dzulkefly berkata, ia untuk memastikan kejayaan program imunisasi dan mencapai sasaran 80 peratus imuniti kelompok dengan lebih cepat.
Malaysia memulakan PICK pada 24 Feb lepas melalui tiga fasa bermula dengan Fasa 1 dari Februari hingga April ini melibatkan 500,000 petugas barisan hadapan.
Fasa 2 pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berusia 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU) melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Feb 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang. – Bernama
Private hospitals e.g. Pantai are already being used as vaccination centres for private HCW for phase one. We will include more private hospitals for phase two and three as I have announced previously. It will be all hands on deck. 75-150k/day through put is for later phases. https://t.co/rPtFzAJeC4
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) March 3, 2021