Home Koronavirus Hospital medan di HPP siap 95 peratus

Hospital medan di HPP siap 95 peratus

0
Hospital medan di HPP siap 95 peratus

GEORGETOWN – Pembinaan hospital medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di tapak parkir Hospital Pulau Pinang (HPP) kini telah siap 95 peratus dan dijangka dapat beroperasi dalam masa terdekat.

Panglima Division Kedua Infantri ATM, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, pihaknya sedaya upaya mempercepatkan operasi hospital medan itu bagi menampung jumlah pesakit Covid-19 di Pulau Pinang.

“Berdasarkan tinjauan hari ini, saya berpuas hati dengan perkembangan pembinaan hospital medan yang dibina oleh anggota ATM. Dari pihak ATM, kami telah capai 95 peratus siap dan pada masa ini kerja-kerja teknikal dan mekanikal masih lagi berjalan di sini.

“Kami di pihak ATM berharap pembinaan hospital itu dapat membantu rakyat Pulau Pinang berjuang melawan Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan pembinaan hospital medan di HPP di sini pada Ahad.

Turut mengiringinya Pegawai Memerintah Batalion Kedua Perubatan ATM Leftenan Kolonel Dr Mohd Zamri Derahman.

Mengulas lanjut, Arman Rumaizi berkata, kehadiran beliau meninjau pembinaan hospital medan itu juga bagi memberi semangat kepada anggota ATM yang bertungkus lumus menjalankan tugas pembinaan hospital berkenaan sejak Khamis lepas.

Pada 11 September lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan sebuah hospital medan akan dibuka di HPP bagi menampung peningkatan jumlah pesakit Covid-19 di negeri ini.

Khairy dilapor berkata, hospital medan itu akan menempatkan lebih 100 katil pesakit dan dilengkapi kemudahan oksigen, wad pesakit serta lain-lain kemudahan.

Operasi pembinaan hospital medan itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 10 hari dan sesi ujian penuh dijangka pada Khamis depan.

Hospital medan ini membabitkan keluasan 2,400 meter persegi dengan dilengkapi empat katil Unit Rawatan Rapi dan 96 katil wad berserta sumber oksigen bagi merawat pesakit Covid-19 tahap empat serta lima. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here