Home Koronavirus Hospital medan bakal dibuka di Tampin

Hospital medan bakal dibuka di Tampin

0
Hospital medan bakal dibuka di Tampin

SEREMBAN – Kerajaan Negeri Sembilan bersedia membuka sebuah hospital medan di Tampin bagi membantu merawat pesakit Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun cadangan tersebut masih di peringkat perbincangan memandangkan terdapat pelbagai perkara perlu diperhalusi.

“Kita merancang membuka sebuah hospital medan dalam kawasan Hospital Tampin memandangkan kawasan di hospital itu besar dan bersesuaian.

“Bagaimanapun, berapa jumlah katil yang diperlukan belum dapat diputuskan lagi berikutan perlu melihat kepada perkembangan semasa situasi kes baru di Negeri Sembilan.

“Esok kita akan melawat tapak dan membuat perbincangan selanjutnya. Jika kes terus menurun dan bilangan katil mencukupi (di hospital), saya rasa tidak perlu (hospital medan). Semua bergantung kepada situasi semasa Covid-19,” katanya dalam pada sidang media secara dalam talian di Wisma Negeri, pada Rabu.

Tambahnya, setakat ini kapasiti pengunaan katil di empat hospital yang merawat pesakit Covid-19 melebihi 70 peratus.

Empat hospital tersebut adalah Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Hospital Jelebu, Hospital Tampin dan Hospital Jempol.

Mengulas lanjut katanya, jumlah kes positif Covid-19 di Negeri Sembilan masih tinggi dan paling membimbangkan apabila menular ke kawasan pedalaman seperti Kampung Lakai, Jelebu, yang kini di bawah Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD).

“Bagi menampung bilangan kes positif yang tinggi di Negeri Sembilan terdapat tiga Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Awam sedang beroperasi iaitu PKRC Politeknik Port Dickson dengan kapasiti seramai 900 orang, PKRC Kolej Kejururawatan Kuala Pilah seramai 700 orang dan PKRC Dewan Orang Ramai Mantin seramai 400 orang.

“Pihak swasta juga telah tampil membantu mengurangkan beban kerajaan terutama pihak kesihatan kerajaan dengan menubuhkan PKRC Swasta dan setakat ini terdapat tiga PKRC Swasta beroperasi iaitu satu di Lodge Residence Nilai dan dua lagi di Port Dickson iaitu di Ancasa Residences dan Klana Beach Resort dengan jumlah kapasiti berjumlah 966 orang,” katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga dalam perancangan mewujudkan sebuah lagi PKRC Awam di Stadium Tertutup Nilai yang dijangka dapat menampung sehingga 1,000 orang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here