Home Koronavirus ‘Generasi Covid-19’ wajar dibantu: Nik Nazmi

‘Generasi Covid-19’ wajar dibantu: Nik Nazmi

0
‘Generasi Covid-19’ wajar dibantu: Nik Nazmi

KUALA LUMPUR – Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020 dan ‘generasi Covid-19’ wajar dipantau dan dibantu ketika mereka melanjutkan pelajaran atau memasuki pasaran pekerjaan terutama dalam keadaan negara dilanda pandemik tersebut.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, walaupun keputusan SPM tahun 2020 membuktikan semangat pelajar tidak dapat dikalahkan untuk cemerlang dalam peperiksaan, namun mereka berhadapan dengan banyak rintangan seperti kekurangan sokongan pembelajaran dalam talian dan bantuan pelajar berhadapan dengan pandemik.

Menurutnya, keadaan semasa seharusnya mendorong kerajaan, terutama pemerintah, untuk bertindak membantu golongan tersebut yang hidup dengan Covid-19 ketika menjadi pelajar.

“Perkara sebegini sepatutnya mendorong kita, terutamanya kerajaan untuk bertindak demi ‘generasi Covid-19′, iaitu golongan muda yang mana pendidikan mereka dan kemasukan mereka ke alam dewasa terjejas berikutan pandemik.

“Ya, pelajar-pelajar SPM 2020 telah mendapat keputusan yang baik. Tetapi cabaran ini tidak patut dihadapi mana-mana generasi, apatah lagi tanpa sokongan kerajaan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata pihak kerajaan, khususnya Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Md Radzi Jidin harus menjangkakan gangguan terhadap sistem asal persekolahan setelah melihat tiada tanda kepastian untuk negara mencapai imuniti kelompok.

Ujarnya, beberapa penyelesaian pernah digariskan oleh pihaknya daripada Pakatan Harapan (PH) untuk membantu menyelesaikan masalah pendidikan ketika pandemik, namun tiada maklum balas yang diterima daripada pihak tersebut.

Nik Nazmi berkata, SPM yang diduduki semasa pandemik Covid-19 hanya rintangan pertama yang berjaya dihadapi dan ia akan mempengaruhi prestasi pendidikan tinggi dan kerjaya.

“Itulah sebabnya saya mendesak agar ‘generasi Covid-19’ dibantu ketika mereka melanjutkan pelajaran atau memasuki pasaran pekerjaan,”

“Sebagai contoh, institusi pendidikan tinggi perlu memperluas tawaran asasi atau diploma jika mereka masuk sebagai ‘generasi Covid-19’, kerana mereka memerlukan lebih banyak persiapan untuk pengajian tinggi.

“Majikan juga perlu memastikan latihan dan penglibatan bahagian sumber manusia diberikan kepada pekerja sekiranya mereka tidak mempunyai kemahiran yang relevan.

“Jika kita gagal dalam hal ini, kita akan kehilangan ‘generasi Covid-19’. Negara juga akan terkesan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here