PUTRAJAYA – [DIKEMASKINI] Kerajaan mewujudkan Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan bagi mengelakkan isu ‘potong barisan’ untuk program vaksinasi Covid-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, keputusan itu dibuat pada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang mana dokumen garis panduan tersebut memperincikan mengenai petugas barisan hadapan.
Katanya, beliau dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba telah menandatangani dokumen garis panduan itu yang akan dimuat naik di laman sesawang https://www.vaksincovid.gov.my/, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi menjelaskan takrifan barisan hadapan.
“Jadi, soal queue cutting tidak lagi timbul di pusat pemberian vaksinasi kerana ada garis panduan yang jelas dan mereka diminta untuk ikut garis panduan tersebut.
“Garis panduan ini akan menyatakan secara jelas siapa yang layak dan siapa yang belum layak untuk menerima vaksin dalam fasa satu,” katanya pada sidang akhbar bersama Dr Adham selepas menghadiri mesyuarat JKVAV, di sini pada Isnin.
Khairy berkata, kerajaan juga mempertimbangkan tindakan kompaun kepada mana-mana individu yang didapati melangkau giliran untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dan.
kuasa tambahan mungkin diberikan kepada Menteri Kesihatan untuk mengenakan kompaun tersebut.
Mengulas mengenainya, Dr Adham berkata, terdapat peruntukan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang membolehkan mana-mana individu yang menghalang atau membantutkan usaha pencegahan penyakit dibawa ke muka pengadilan.
Dalam pada itu, Khairy menyeru orang ramai menyalurkan aduan berkaitan isu “potong barisan” untuk membolehkan lebih ramai petugas hadapan yang layak menerima suntikan vaksin Covid-19 tersebut.
Khairy berkata, JKJAV juga bersetuju membentuk jawatankuasa kecil bagi melihat permintaan mewujudkan kategori baharu untuk mereka yang memohon disenaraikan sebagai barisan hadapan.
Mengenai pendaftaran bagi menerima suntikan vaksin Covid-19 di aplikasi MySejahtera, beliau berkata seramai 1,468,137 atau 6.1 peratus rakyat telah berdaftar setakat jam 11 pagi pada Isnin.
“Tahap pendaftaran masih rendah kerana sasaran kita ialah 80 peratus. Dijangkakan angka ini akan meningkat selepas 5 Mac ini apabila pendaftaran dibuka melalui talian hotline dan laman web www.vaksincovid.gov.my.
Bilangan penerima vaksin setakat ini ialah 17,064 orang dengan Sarawak mencatatkan angka tertinggi diikuti Pahang dan Perak,” katanya. – Bernama