KUALA LUMPUR – Masyarakat di negara ini digesa supaya tidak mengadakan aktiviti ziarah ketika Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi berikutan varian baharu Covid-19 lebih cepat menular.
Pakar perunding perubatan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Alzamani Mohammad Idrose berkata, ia berikutan situasi semasa menyaksikan ledakan kes Covid-19 kini memenuhi katil-katil dan unit rawatan rapi (ICU) di HKL sejak minggu lalu.
Menerusi catatan terbaharu beliau bertajuk ‘Catatan Malam Minggu’ yang dimuat naik di laman Facebook pada malam Ahad, Dr Alzamani menyifatkan masyarakat kini berada di ambang bencana yang lebih hebat sekiranya membuka ruang untuk virus itu merentas.
Sehubungan itu, katanya, pihaknya berharap masyarakat patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) terutama ketika Aidiladha nanti.
“Daripada pemerhatian kami, yang dapat Covid-19 ini, ramai yang menjadi lemah dan tewas di meja makan- duduk berdekatan dalam keadaan ‘mask’ (pelitup muka) dibuka.
“Lemah ketika berhadapan rakan dan keluarga dan diajak makan, sedangkan mereka berpotensi untuk membawa Covid-19 kepada anda, dan anda kepada mereka.
“Anggaplah semua ada Covid-19 dan anda akan pecahkan rantaian Covid-19 dan mengurangkan kes yang perlu ke hospital,” katanya.