JAKARTA – Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Bakar dan isteri Datin Sakhiah Mohd Soom dibenarkan keluar dari Rumah Sakit Pusat Angkatan Darat (RSPAD) Gatot Soebroto, Jakarta pada 3 April, selepas hampir empat minggu dimasukkan ke hospital akibat Covid-19.
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi kenyataan pada Isnin memaklumkan, kedua-dua mereka pada mulanya dirawat di Hospital Mayapada, Lebak Bulus masing-masing pada 7 dan 8 Mac lepas sebelum dipindahkan ke RSPAD pada 12 Mac.
“Duta Besar dan isteri ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Indonesia khususnya Kementerian Luar Negeri Republik Indonesia kerana membantu dan memastikan mereka mendapat rawatan terbaik, serta semua doktor, jururawat dan kakitangan kedua-dua hospital untuk rawatan baik yang diberikan,” menurut kenyataan itu.
Pasangan itu juga berterima kasih kepada Wisma Putra, ahli keluarga dan mereka yang mendoakan agar suami isteri itu segera sembuh, termasuk Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Malaysia mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Jemilah Mahmood.
Zainal Abidin dan Sakhiah turut menzahirkan penghargaan kepada Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya dan pakar penyakit berjangkit, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman yang menyediakan sokongan dan nasihat pakar kepada Kedutaaan Besar Malaysia di Jakarta. – Bernama