Home Koronavirus Dua kluster baharu direkodkan di Sabah

Dua kluster baharu direkodkan di Sabah

0
Dua kluster baharu direkodkan di Sabah

KOTA KINABALU – Dua lagi kluster baharu direkodkan di Sabah pada Jumaat iaitu masing-masing satu kluster pendidikan dan kluster komuniti, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata, kluster pendidikan melibatkan Kluster Pangkalan Abai di Kota Belud membabitkan pelajar perempuan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Said dan keluarga guru.

Masidi, yang juga jurucakap Covid-19 Sabah, berkata, kes indeks berusia 18 tahun itu dikesan melalui saringan bergejala pada 7 Februari lepas dan saringan terhadap kontak rapat terdiri daripada guru, rakan sebilik serta sekelas mendapati 38 lagi telah dijangkiti menjadikan jumlah kumulatif kluster itu sebanyak 39 kes setakat hari ini.

“Kluster Loboh Nabawan pula berpunca daripada majlis penghormatan terakhir dan pengebumian di Kampung Loboh Nabawan pada 1 Februari lepas iaitu kes indeks merupakan seorang wanita berusia 59 tahun,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, wanita itu mula bergejala seperti demam, batuk, selesema, sakit kepala dan sakit tekak pada 6 Februari sebelum disahkan positif selepas menjalani ujian di Klinik Kesihatan Nabawan pada 8 Februari.

Masidi berkata, ujian kontak rapat turut mendapati 16 orang lagi positif dan mereka telah diasingkan untuk rawatan lanjut.

Katanya, perkembangan terbaharu itu menjadikan 36 kluster aktif di Sabah setakat ini yang melibatkan institusi pendidikan, enam kluster tempat kerja, dua kluster komuniti serta masing-masing satu bagi kluster keagamaan dan kluster berisiko tinggi.

Beliau juga berkata, sejumlah 3,361 kes baharu Covid-19 direkodkan di Sabah pada Jumaat dengan empat kematian iaitu tiga di Papar dan satu di Tuaran.

Masidi berkata, prosedur operasi standard baharu majlis sosial menetapkan kehadiran tetamu maksimum 150 orang atau 50 peratus daripada ruang, yang mana lebih kecil, dan dijalankan dalam tempoh maksimum tiga jam sahaja.

Bagi masjid negeri, bandar raya, masjid bahagian (Tawau dan Sandakan) dan masjid daerah, solat berjemaah lima waktu, solat Jumaat serta majlis keagamaan pula, kehadiran dihadkan kepada maksimum 150 orang atau satu pertiga daripada keluasan ruang lantai tertutup masjid dan surau mengikut mana lebih rendah.

Jumlah jemaah bagi masjid dan surau lain untuk solat lima waktu dan Jumaat dihadkan maksimum 100 orang atau satu pertiga daripada keluasan ruang lantai tertutup masjid dan surau mengikut mana lebih rendah.

Rumah ibadah bukan Islam pula dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam, tidak melebihi dua jam dan terhad kepada 150 orang atau satu pertiga daripada ruang ibadat. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here