KUALA LUMPUR – Pemvaksinan secara campuran atau heterologous terbukti lebih berkesan daripada pengambilan dos penggalak dari jenis vaksin yang sama dengan dos pertama dan kedua.
Menurut pakar perubatan kesihatan awam, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid, dapatan beberapa penyelidikan mendapati, kombinasi vaksin berbeza meningkatkan tahap perlindungan seseorang kepada 68 hingga 79 peratus.
“Hasil daripada kajian yang dilaporkan dalam jurnal-jurnal antarabangsa seperti The Lancet dan sebagainya menunjukkan, kita mempunyai kadar keberkesanan yang begitu tinggi kalau kita gunakan jenis vaksin yang berbeza antara dos pertama dan kedua, dan dos penggalak.
“Ini dibuktikan, apabila kita menggunakan dos yang sama, dipanggil ‘homologous vaccination’, di mana dos pertama, kedua dan ketiganya sama, tahap keberkesanannya cuma sekitar 50 peratus,” katanya.
Sehubungan itu, jelas Dr Syed Mohamed Aljunid, dengan vaksinasi heterologous, kemungkinan untuk mendapat jangkitan dan kesan teruk disebabkan oleh varian Omicron, dapat dikurangkan.
Katanya, beliau difahamkan bahawa, fasa pemberian dos penggalak dalam program vaksinasi negara menerapkan kaedah heterologous, bagaimanapun segala maklumat perlu dimaklumkan dengan lebih jelas dan telus kepada rakyat.
“Apabila saya dapat dos penggalak, apa yang saya dapat adalah tarikh temu janji sahaja. Tidak diberitahu apakah jenis vaksin yang diterima.
“Tetapi di tempat vaksinasi, mereka memaklumkan bahawa oleh kerana saya telah menerima dos vaksin yang berbeza, maka dia akan berikan vaksin daripada jenis yang lain.
“Mungkin di lapangan ada berlaku kekurangan bekalan untuk jenis-jenis vaksin tertentu, namun ini harus kita lihat dengan lebih terperinci untuk diselesaikan.” – Awani