Seorang wanita melakukan ujian saringan COVID-19 di stesen uji sementara di Beijing. – Foto Reuters
GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mempertikai data yang dikeluarkan China berhubung kes kematian akibat Covid-19 yang didakwa statistik rasminya tidak menunjukkan kesan sebenar wabak berkenaan.
Menurut Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan, pihaknya percaya bahawa statistik semasa yang diterbitkan China kurang menggambarkan kesan sebenar wabak dari sudut kemasukan ke hospital, ICU dan jumlah kes kematian.
Kenyataan Ryan itu menyusul selepas China mengumumkan bahawa situasi Covid-19 di negara tembok besar itu terkawal dan ia berjaya mengawalnya.
Sebelum ini China bertindak memansuhkan kawalan dan sekatan bulan lalu.
Pakar kesihatan antarabangsa meramalkan sekurang-kurangnya sejuta kematian di China tahun lalu namun China hanya melaporkan hanya sekitar lima kematian sehari.
Bagaimanapun, pandangan pakar antarabangsa itu ditolak China dan mendakwa ia cubaan bermotif politik untuk mencemarkan pencapaiannya dalam memerangi virus.
China dilapor turut mengkritik keputusan beberapa negara yang mengenakan SOP ketat termasuk ujian Covid-19 terhadap pengembara dari negara itu. – Awani
Ikuti perkembangan semasa mengenai Covid-19 di sini!