ALOR SETAR – Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap akan ditutup selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Mei susulan terdapat penularan pandemik Covid-19 membabitkan seorang kakitangannya.
Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Md Shuhaime Abd Rahman berkata, keadaan terkini masih terkawal dan pihaknya mengambil langkah awal menutup operasi untuk mengelakkan penularan.
Menurutnya, proses sanitasi juga telah dijalankan pada jam 3 petang pada Jumaat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pejabat Kesihatan Daerah.
“Kakitangan terbabit dilaporkan dijangkiti Covid-19 daripada anaknya. Bagaimanapun keadaannya tidak serius dan sedang menjalani pemantauan di rumah.
“Sehubungan itu, kita mengambil langkah awal dengan menutup premis seketika untuk mengekang penularan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.
Menurutnya, segala urusan tanah seperti carian penyaksian, pendaftaran dan lain-lain akan disambung semula pada 12 Mei atau setelah keadaan kembali pulih.
“Kepada orang ramai yang ingin menjelaskan bayaran cukai tanah, mereka boleh berbuat demikian secara dalam talian menerusi https://ibayaq.kedah.gov.my/,” katanya.