KUALA LUMPUR – Sebanyak 28,312,631 dos vaksin Covid-19 telah diberikan setakat Isnin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter rasminya memaklumkan, jumlah yang menerima dos pertama ialah 17,252,314 orang, manakala 11,060,317 orang menerima dos kedua.
Mengikut peratusan, 52.8 peratus daripada jumlah populasi negara telah mendapat dos pertama manakala 33.9 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan 501,776 dos diberikan pada Isnin dengan 175,874 adalah dos pertama, manakala 325,902 adalah dos kedua.
PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara. – Bernama