BAU – Kes harian Covid-19 di Sarawak yang kini mencatatkan dua angka membolehkan negeri itu memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, penurunan jumlah kes baharu kepada dua digit itu berlaku sejak beberapa minggu lepas sekali gus menangkis dakwaan sesetengah pihak bahawa jumlah kes Covid-19 akan meningkat berikutan Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12, yang lepas.
“Saya berterima kasih kepada rakyat yang telah mendapat vaksinasi dan juga dos penggalak yang dapat mengawal (penularan) Covid-19 ini. Apabila angka menurun, mudah-mudahan kita dapat masuk fasa empat, maka ekonomi kita akan dibuka (sepenuhnya),” katanya ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-65 Majlis Daerah Bau, di sini pada Khamis.
Kes harian Covid-19 di Sarawak menunjukkan trend penurunan dari tiga digit kepada dua digit bermula dengan 91 kes dilaporkan pada 4 Disember lepas kepada 23 kes yang direkodkan pada Rabu.
Abang Johari berkata, penurunan kes Covid-19 dan peralihan ke fasa empat bakal memberi kesan positif kepada kegiatan perniagaan dan aktiviti lain yang memberi manfaat ekonomi kepada masyarakat.
Sebagai usaha meneruskan pembangunan ekonomi Sarawak, beliau berkata, penglibatan sektor swasta akan dipergiat khususnya dalam pembangunan yang tidak dapat dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
“Dalam proses pembangunan, kita memerlukan penglibatan sektor swasta dan mereka akan menyuntik dana, manakala kerajaan pula akan memudahkan mereka (sektor swasta) membangunakan kawasan tertentu termasuk di Bau,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, pembangunan infrastruktur asas khususnya di kawasan luar bandar dijangka dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun yang seterusnya membolehkan tumpuan dapat diberikan ke arah meningkatkan program inovasi dan pembangunan bakat rakyat Sarawak dalam bidang teknologi baharu.
“Sebab itu kita galakkan sektor swasta untuk menjana ekonomi kita dan kalau ini berlaku, saya nampak masa depan kita di Sarawak adalah cerah. Kita ada pendekatan sendiri, rakyat sendiri dan cara membangunkan negeri,” katanya. – Bernama