JOHOR BAHRU – Dua lagi atlet badminton negara disahkan positif Covid-19, menjadikan keseluruhan jumlah atlet yang dijangkiti wabak itu meningkat kepada 17 orang setakat ini.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, ia hasil ujian saringan yang dijalankan ke atas 95 lagi atlet di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Menurutnya, mereka yang diuji positif Covid-19 telah diasingkan manakala yang lain dikuarantin.
“Mereka dikuarantin selepas mengambil kira nasihat dan garis panduan daripada pihak kesihatan,” katanya ketika ditemui pada Flag Off Program Road To Yokyo di Lobi Bangunan Datuk Jaafar Muhammad di sini, pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan 15 kes positif membabitkan pemain badminton negara, selepas 14 kes direkodkan sebelum ini.
Enam kes direkodkan pada 17 April lalu manakala lapan lagi kes pada Selasa.
Sementara itu, ditanya proses vaksin membabitkan atlit negara yang akan ke Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun, beliau berkata, atlet yang terlibat telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 dan akan menerima vaksin kedua pada 4 Mei depan, melibatkan 12 atlet.
Bagaimanapun katanya, masih ada atlet yang belum menerima suntikan termasuk atlet berbasikal negara, Azizul Hasni Awang dan Muhamad Shah Firdaus Sahrom yang masih berada di Australia.
“Mereka akan balik pada Jun nanti dan dalam tempoh itu, masih sempat untuk mereka menerima suntikan vaksin,” katanya.