Home Koronavirus Bantu bebaskan negara daripada jajahan Covid-19

Bantu bebaskan negara daripada jajahan Covid-19

0
Bantu bebaskan negara daripada jajahan Covid-19

KUALA LUMPUR – Bantu kerajaan dengan terus patuh kepada setiap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membebaskan negara daripada terus ‘dijajah’ oleh musuh ‘senyap’ adalah satu perjuangan yang amat dituntut daripada rakyat ketika ini.

Bagi Pegawai Waran I (B) Ielias Ibrahim, pandemik ketika ini tidak ubah seperti suasana perang yang memerlukan rakyat mempunyai semangat patriotik tinggi dan berjuang bersama-sama memerangi ‘musuh’ yang telah meragut banyak nyawa dan kebebasan yang dikecapi selama ini.

“Dahulu, kami berperang dengan menggunakan senjata api bagi memerangi musuh yang kita nampak iaitu komunis, tetapi kini peperangan yang kita hadapi jauh berbeza sama sekali kerana musuh yang kita hadapi ini lebih ganas dan bahaya.

“Ia tidak mampu dilihat oleh mata kasar tetapi ada di sekeliling kita, sekali kita alpa sekelip mata ia boleh meragut nyawa.

Jadi, perisai dan kubu yang kita ada hanyalah terus patuh pada SOP yang ditetapkan dan lengkapkan diri kita dengan vaksin,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ielias adalah individu pertama dianugerahkan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) dalam Rejimen Askar Wataniah atas jasanya memerangi komunis semasa bertugas memantau pembinaan Lebuh Raya Timur Barat menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan pada 1977.

Keberanian menentang musuh menerusi Operasi Kota Foxtrot itu juga membolehkan anak kelahiran Batu Kurau, Taiping, Perak ini dianugerahkan Pingat Keberanian Handalan (PKH) oleh Sultan Perak ketika itu, Al-Marhum Sultan Idris Iskandar Al-Mutawakkil Alallahi Shah pada tahun yang sama, sempena Hari Keputeraan baginda.

Mengimbas keadaan yang dialami negara suatu ketika dahulu, beliau berkata, masyarakat hari ini sewajarnya bersyukur kerana masih mampu hidup dalam keadaan aman walaupun diuji dengan penularan wabak dan dikenakan dengan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Dahulu, sesiapa yang langgar perintah berkurung pasti sahaja akan ditembak.

Kini, ia tidak begitu, kita sebaliknya masih bebas untuk melakukan apa-apa sahaja namun perlulah berlandaskan undang-undang.

“…dan apabila terkurung dalam tempoh lama, sebenarnya ia membuatkan kita lebih menghargai erti kebebasan dengan lebih mendalam selain memahami maksud sebenar kemerdekaan negara,” katanya.

Sementara itu, berkongsi pengalamannya sepanjang berkhidmat 22 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Ielias mengakui berpuas hati apabila dapat menembak mati tiga pengganas komunis termasuk seorang wanita.

Ketika itu, beliau yang berpangkat Prebet bersama-sama empat rakan seperjuangannya Lans Koperal Zaki Shamsudin yang juga Ketua Seksyen Prebet Abd Halim Hasan, Prebet Md Ali Hassan dan Prebet Tajuddin Yusof diarahkan untuk mengambil catuan makanan di Pos Kawalan 5 pada 15 Ogos 1977, iaitu sehari sebelum Ramadan.

Menurutnya ketika dalam perjalanan, mereka telah terserempak dengan longgokan kulit binatang seperti baru sahaja ditinggalkan, namun tidak dipedulikan oleh seorang daripada rakan sepasukannya dan meminta mereka meneruskan perjalanan.

“Namun, saya rasa was-was dan risau kerana terdengar bunyi riuh ungka dan mengesyaki pasti ada sesuatu yang berlaku.

Ternyata telahan saya benar apabila pasukan kami diserang kira-kira 30 pengganas komunis dari atas bukit selepas berjalan lebih kurang 500 meter,” katanya.

Bunyi riuh ungka tadi, berganti dengan bunyi tembakan bertalu-talu dan hujan peluru daripada senjata musuh menyebabkan seorang demi seorang rakannya cedera dan terkorban dalam serang hendap itu, malah beliau sendiri turut cedera parah.

Tanpa menghiraukan kecederaan yang dialami, anak keempat daripada tujuh adik-beradik ini sempat membalas tembakan sehingga berjaya membunuh tiga daripada mereka.

Selepas kejadian itu, Ielias ditukarkan ke Batalion Ke-14 Rejimen Askar Wataniah (14 MTA) pada 12 Nov 1977 dan dinaikkan pangkat Lans Koperal pada Mac 1979.

Beliau kemudiannya diserap sebagai anggota tetap Ke-9 Rejimen Renjer Diraja pada 1 November 1979 dan menamatkan perkhidmatan pada 1998 di unit terakhirnya di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang sebagai Sarjan Mejar Rejimen untuk Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES). – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here