KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi 93 Depot Perubatan dan Pergigian AT (93 DPP AT), Bahagian Perkhidmatan Kesihatannya menerima sejumlah 4,680 dos vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech fasa satu pada Isnin.
ATM dalam satu kenyataan berkata, bekalan itu untuk seramai 2,340 penerima yang akan diagihkan dan diberikan kepada petugas kesihatan ATM terlebih dahulu.
“Pada sebelah petang pula 94 Hospital Angkatan Tentera (HAT) Terendak dan 96 HAT Lumut akan menerima penghantaran berikutnya dengan masing-masing berjumlah 2,340 dos.
“HAT Wilayah Kota Kinabalu (WKK) akan menerima sebanyak 1,170 dos pada 25 Februari ini manakala 801 Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT) Kuching pula akan menerima sejumlah 7,020 dos pada 8 Mac depan,” katanya.
Menurut ATM, penghantaran kedua hingga kelima adalah pada setiap Isnin setiap minggu seterusnya bermula 1 hingga 29 Mac depan sebelum memasuki fasa dua penghantaran.
Katanya, pengagihan vaksin daripada lima buah Pusat Simpanan Vaksin ATM (PSV ATM) kepada 54 buah Pusat Pemberian Vaksin ATM (PPV ATM) akan menggunakan aset-aset ATM seperti pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (penerbangan Log Comm), helikopter dan kenderaan darat sedia ada.
“Aspek keselamatan penjagaan rangkaian sejuk (cold chain management) akan diutamakan bagi memastikan vaksin tidak rosak semasa pengangkutan dan pemindahan kepada PPV sekali gus dapat mengelakkan pembaziran dan kerugian kepada pihak kerajaan.
“Antara kriteria keutamaan penerima vaksin bagi petugas barisan hadapan adalah bergantung kepada ketersediaan PPV berkaitan dengan aset-aset sokongan yang penting seperti Top Loading Fridge (TLF), Coldbox, Carrier Box dan Temperature Data Logger yang telah sempurna dibuat proses Testing and Commissioning (T&C),” katanya.
ATM berkata, secara kesluruhannya, ATM bakal menerima sejumlah 84,240 dos membabitkan lima penghantaran secara berperingkat dalam fasa satu melalui 5 PSV ATM.
Di peringkat ATM katanya, keutamaan penerima vaksin akan diberikan kepada petugas kesihatan ATM, anggota ATM yang bertugas di barisan hadapan dan anggota yang berumur 50 tahun ke atas.
Ia juga akan diberikan kepada anggota ATM yang berada di dalam zon merah, anggota yang bertugas di Pusat Operasi, Markas Formasi dan unit Strategik ATM/Kementerian Pertahanan dan anggota yang terdedah kepada jangkitan kerana faktor bekerja dan berurusan dengan pihak luar (front desk).