KUALA LUMPUR – “Hari ini merupakan satu detik hitam apabila negara mencatatkan kes kematian harian Covid-19 yang tertinggi sejak pandemik ini bermula,” demikian menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menyuarakan keresahannya, beliau berkata, pertambahan 98 kes kematian Covid-19 itu menyaksikan angka korban akibat wabak tersebut kini berjumlah 2,650 kes.
Katanya, perkembangan itu menyebabkan bilik simpanan mayat di hospital-hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini mula penuh dan semakin sukar untuk menampung pertambahan mendadak jumlah jenazah.
“Sebanyak 471 kematian berlaku pada tahun 2020 manakala 2,179 kematian dicatatkan dalam tempoh lima bulan pertama 2021. “Dalam tempoh 1 hingga 29 Mei 2021 sahaja, sebanyak 1,144 kematian disebabkan Covid-19 telah direkodkan. Ini merupakan jumlah kes kematian bulanan yang paling tinggi setakat ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Dr Noor Hisham berkata, berikutan itu, perkhidmatan perubatan forensik telah menyediakan kontena khas khusus untuk jenazah pesakit atau bukan pesakit Covid-19 di lima hospital iaitu Hospital Selayang, Hospital Serdang dan Hospital Sungai Buloh di Selangor; Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru dan Hospital Queen Elizabeth I di Sabah serta satu ‘fleximort’ khusus untuk jenazah pesakit Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Selangor.
Beliau berkata, setiap kontena khas itu boleh menampung kapasiti maksimum 20 jenazah manakala bagi “fleximort” sebanyak 12 jenazah.
Lebih membimbangkan, Dr Noor Hisham berkata jika kes aktif Covid-19 melebihi kemampuan dan kapasiti KKM untuk merawat, doktor akan terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit dengan potensi sembuh yang lebih tinggi berbanding pesakit yang potensi sembuhnya lebih rendah.
“Ini adalah implikasi yang tidak diingini oleh setiap petugas kesihatan namun pilihan sukar ini akan terpaksa dilakukan apabila sistem kesihatan mencapai kapasiti maksimum.
“Bantulah kami agar sistem kesihatan negara tidak lumpuh sama sekali,” katanya.
Beliau berkata, semua pihak dari peringkat tertinggi hinggalah ke rakyat jelata perlu membantu memutuskan rantaian jangkitan virus Covid-19. “Buatlah keputusan dan pilihan terbaik demi rakyat dan negara,” katanya.
Dr Noor Hisham juga berkata, dalam mengimbangi nyawa serta kehidupan, adalah penting untuk semua pihak sentiasa meneliti semula keutamaan mereka mengikut keadaan semasa namun bagi KKM dan petugas kesihatan di seluruh negara, keutamaan mereka adalah kesihatan awam dan menyelamatkan nyawa.
“Marilah kita kekal duduk di rumah dan jika anda mempunyai urusan penting di luar, pastikan anda mematuhi SOP agar diri dan ahli keluarga dilindungi.
“Kita jaga kita. Pastikan tiada pergerakan dan tiada perhimpunan. #LockdownKendiri #BantuSistemKesihatanNegara,” katanya. – Bernama