Home Koronavirus 5,193 pesakit ‘long Covid’ jalani rawatan setakat 30 Oktober

5,193 pesakit ‘long Covid’ jalani rawatan setakat 30 Oktober

0
5,193 pesakit ‘long Covid’ jalani rawatan setakat 30 Oktober

KUALA LUMPUR – Sejumlah 5,193 pesakit menjalani rawatan serta pemantauan program rehabilitasi menangani gejala ‘long Covid’, atau ancaman komplikasi jangka panjang akibat Covid -19, di seluruh negara melibatkan 31 hospital awam, empat hospital universiti dan enam fasiliti kesihatan swasta setakat 30 Oktober lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat dua tempoh bagi ‘long Covid’ yang menyaksikan bekas pesakit masih menunjukkan gejala dan komplikasi selepas jangkitan.

“Gejala yang Berterusan Covid -19 ialah tanda dan gejala selepas jangkitan Covid-19 dalam tempoh empat minggu hingga 12 minggu dan Sindrom Pasca Covid -19 ialah tanda dan gejala wujud pada ketika atau selepas jangkitan Covid -19 yang berterusan melepasi 12 minggu yang tidak dapat dijelaskan oleh sebarang diagnosis lain,” menurutnya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pesakit ‘long Covid’ juga memerlukan rawatan khusus dan tahap kesihatan mereka berpotensi mengalami implikasi serius.

“Tanpa rawatan yang khusus, keadaan ini akan berterusan dan tempoh masa yang lama diperlukan bagi kembali ke tahap fungsi sepenuhnya.

Secara tidak langsung, ia akan menjejaskan kualiti kehidupan individu pasca jangkitan Covid -19.

“Selain itu, ‘long Covid’ boleh menyebabkan implikasi serius seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti dan hilang sumber pendapatan.

Bebanan sosioekonomi bukan sahaja memberi impak kepada pesakit malah turut dirasai oleh ahli keluarga, masyarakat serta negara,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, antara gejala yang kerap dilaporkan ialah kelesuan, kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti, batuk, kesakitan dan kesukaran tidur nyenyak.

Beliau berkata, Perkhidmatan Perubatan Rehabilitasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah menjalin kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia, Pusat Rehabilitasi Perkeso, Tun Abdul Razak Melaka dan cawangan satelit di Hospital Ara Damansara bagi memperkasa pesakit ‘long Covid’ menerusi Program Kembali Bekerja dengan memberikan rawatan rehabilitasi yang komprehesif dan bersifat menyeluruh.

“Selain itu, pembekalan peralatan rehabilitasi yang bersesuaian dan pembayaran faedah Perkeso bagi pencarum yang layak juga akan dijalankan.

“Kolaborasi bersama badan bukan kerajaan seperti Mercy Malaysia dan Care, Share and Circle juga sedang dilakukan bagi mendapatkan sokongan profesional untuk penyediaan bahan pendidikan pesakit meliputi bahasa utama di Malaysia secara bercetak serta elektronik,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menasihati orang ramai termasuk yang telah menerima vaksin Covid -19 agar terus mematuhi saranan dan nasihat kesihatan yang sering ditekankan.

“Patuhlah kepada prosedur operasi standard sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin Covid -19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekali gus membina imuniti kelompok,” katanya.

Beliau berkata, KKM akan terus memantau perkembangan insiden jangkitan dalam negara di samping memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here