SEREMBAN – Seramai 42,120 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara akan menerima suntikan vaksin Covid-19 pada fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadualkan bermula 26 Februari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemberian vaksin itu melibatkan 84,240 dos dengan setiap anggota menerima dua dos suntikan vaksin.
“Saya percaya Mac nanti (anggota) kita akan terima (vaksin) memandangkan tentera juga adalah barisan hadapan. Ini termasuk juga anggota yang mengawal sekatan jalan raya dan Ops Benteng bersama polis.
“Jadual (pemberian vaksin) akan ditetapkan dan dimaklumkan pada pihak ATM,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT), Markas 1 Briged, Kem Sikamat di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau berkata, untuk ketibaan vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 esok, ATM juga akan dilibatkan bagi kawalan keselamatan mulai Ahad hingga waktu suntikan diberikan kepada orang awam.
Pada Ahad, Malaysia akan menerima 312,390 dos vaksin Pfizer-BioNTech Covid-19 yang akan diterbangkan dengan penerbangan pesawat penumpang Malaysia Airlines ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dan diasingkan sebelum dihantar ke pelbagai tempat penyimpanan vaksin di seluruh negara.
Sementara itu, ditanya sama ada ATM mempertimbang menjadikan hospitalnya antara pusat simpanan vaksin, Ismail Sabri berkata, ATM bersedia membantu kerajaan dalam sebarang keadaan selain mempunyai keanggotaan yang mencukupi.
“Insya-ALLAH, kita bersedia berbincang dengan Hospital Angkatan Tentera, lagi pun ATM juga banyak terlibat dalam urusan Covid-19 termasuk menyediakan Hospital Medan ATM di Sabah sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, lawatannya ke RKAT itu adalah sebahagian daripada lawatan ke formasi-formasi Tentera Darat Malaysia.
“Di sini saya juga telah meluluskan pembinaan dewan serbaguna bernilai RM5 juta yang akan dibina sama ada tahun ini atau awal tahun hadapan dan turut sempat menziarahi empat rumah bagi menyantuni waris dan anggota yang menghidapi penyakit,” katanya. – Bernama