KUALA LUMPUR – Seramai 3,135 anggota polis dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur dijangka menerima vaksin bagi fasa pertama.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Saiful Azly Kamaruddin berkata, seramai 2,882 anggota dan pegawai dijadualkan menerima vaksin di Klinik Kesihatan Jinjang sementara 253 orang pula di Klinik Kesihatan Putrajaya di Presint 8.
“Dos pertama akan diberikan dari 1 Mac hingga 8 Mac sementara dos kedua bermula 22 Mac hingga 4 April.
“Kita menyasarkan seramai 242 anggota akan menerima vaksin setiap hari,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri program vaksinasi melibatkan anggota dan pegawai polis Kuala Lumpur di Klinik Kesihatan Jinjang di sini pada Isnin.
Saiful Azly berkata, terdapat empat lokasi pusat simpanan vaksin di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Klinik Kesihatan Titiwangsa dan Institut Kanser Negara.
“Vaksinasi untuk anggota dan pegawai polis Kuala Lumpur dilakukan secara sukarela.
“Kementerian Kesihatan akan memberi senarai anggota dan pegawai yang menerima vaksin pada hari tertentu,” katanya.
Menurutnya, mereka yang terlibat akan diberi taklimat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur sebelum dibawa ke pusat vaksinasi.
“Pemeriksaan akan dilakukan di pusat vaksinasi untuk memastikan sama ada individu mempunyai penyakit atau gejala Covid-19,” katanya.