Home Koronavirus 15,610 kanak-kanak terima vaksin di Pulau Pinang

15,610 kanak-kanak terima vaksin di Pulau Pinang

0
15,610 kanak-kanak terima vaksin di Pulau Pinang

GEORGETOWN – Seramai 15,610 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Pulau Pinang telah menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, jumlah itu direkodkan dari 7 Februari iaitu hari pertama PICKids dilaksanakan sehingga 18 Februari.

“Sehingga 18 Februari, jumlah kanak-kanak yang menerima suntikan meningkat berbanding 530 orang yang dicatatkan pada 12 Februari lalu.

“Sementara itu, Pulau Pinang menerima pendaftaran PICKids melebihi 64,300 sehingga 18 Februari,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, sebanyak 14 lagi pusat pemberian vaksin (PPV) telah dibuka bagi menjayakan PICKids selain mempercepatkan proses suntikan bagi golongan kanak-kanak di Pulau Pinang.

Bagi permulaan suntikan vaksin yang bermula pada 7 Februari lalu, ia hanya melibatkan kanak-kanak yang mempunyai komorbid atau tergolong dalam kalangan yang berisiko tinggi.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan Pihak Berkuasa Ubat-ubatan (DCA) meluluskan penggunaan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Dalam perkembangan lain, Norlela berkata, sebanyak 66.2 peratus populasi dewasa telah menerima dos penggalak di Pulau Pinang sehingga 18 Februari.

Menurutnya, daerah paling tinggi yang dicatatkan adalah Barat Daya dengan 75 peratus; Seberang Perai Tengah (74 peratus); Seberang Perai Selatan (72 peratus), Timur Laut (65 peratus) dan 45 peratus bagi Seberang Perai Utara.

“Trend suntikan dos penggalak di Seberang Perai Utara dilihat seakan di Kedah. Ia mungkin kerana profil demografi penduduk yang sama.

“Data golongan yang layak untuk mendapatkan dos penggalak (pencapaian denom) sehingga 18 Februari adalah 1.41 juta orang,” katanya.

Katanya, bagi dos penggalak dalam kalangan golongan berisiko tinggi pula, kategori komorbid adalah 69.5 peratus; orang kurang upaya (68.3 peratus); petugas perubatan (79.3 peratus); warga emas (80.6 peratus) dan Sinovac2 (78.7 peratus).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here