KUALA LUMPUR – Seramai 1,267,758 individu telah melengkapkan penerimaan dua dos vaksin Covid-19 di negara ini di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan setakat Khamis, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan melalui akaun Twitternya, seramai 2,835,178 individu telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini sebanyak 4,102,936 dos.
Lima negeri yang mencatatkan penerima kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 165,516 dos diikuti Sarawak (130,641), Kuala Lumpur (118,255), Johor (117,725) dan Perak (115,298).
Dalam fasa pertama program itu dari Februari hingga April lepas, kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan telah menerima vaksin.
Fasa kedua yang bermula April lepas hingga Ogos ini akan melibatkan pemvaksinan ke atas 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya.
Fasa ketiga pula yang bermula bulan lepas hingga Februari 2022 melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih. – Bernama
Jumlah pemberian vaksin COVID-19 setakat 10 Jun 2021 ialah 4,102,936 dos. (+157,949 pada 10 Jun)
Jumlah yang terima dos pertama ialah 2,835,178 orang. Daripada jumlah itu, 1,267,758 orang juga telah terima dos kedua.
Daftar di MySejahtera, https://t.co/jWUzMEwwWM Tel 1800888828 pic.twitter.com/YjA1uG7PrZ
— Dr Adham Baba (@DrAdhamBaba) June 11, 2021